Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arsenal kalahkan Lens 6-0, mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara

Nov 30, 2023 | 11:56 AM
HARGAI PENYOKONG: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memberikan tepukan penghargaan kepada penyokong pasukannya selepas kemenangan besar 6-0 mereka ke atas Lens.
HARGAI PENYOKONG: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memberikan tepukan penghargaan kepada penyokong pasukannya selepas kemenangan besar 6-0 mereka ke atas Lens. - Foto EPA-EFE

LONDON: Arsenal melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas muncul juara Kumpulan B dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Lens di Stadium Emirates.

Ini kali pertama dalam tujuh tahun Arsenal berjaya melayakkan diri ke peringkat 16 pasukan terakhir.

Pasukan bergelar Gunners itu menjaringkan lima gol dalam separuh masa pertama menerusi Kai Havertz, Gabriel Jesus, Bukayo Saka, Gabriel Martinelli dan Martin Odegaard.

Jorginho kemudian menjaringkan penalti pada hujung perlawanan.

Arsenal mara bersama PSV Eindhoven sementara Lens dan Sevilla tersingkir.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata: “Saya langsung tidak impikan pengalaman ini.

“Dari awal perlawanan, pemain kami menunjukkan permainan agresif dan semangat juang yang tinggi untuk menang.

“Semuanya berlaku mengikut rancangan yang betul dalam 30 minit pertama. Jadi ia amat membantu kami.”

Havertz, yang diturunkan dalam kesebelasan utama selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya semasa menentang Brentford dalam Liga Perdana England (EPL) minggu lalu, membuka tirai jaringan 13 minit selepas perlawanan bermula.

Ia hasil hantaran tandukan oleh Jesus dan Havertz membuktikan kemampuannya sebagai penyerang dengan jaringan jarak dekat.

Jesus kemudian menjadi penjaring buat pasukannya dari jarak 13 meter menerusi rembatannya.

Sekitar dua minit kemudian, giliran Saka pula menjaringkan gol selepas penjaga gawang Lens, Brice Samba, menyelamatkan percubaan Martinelli.

Namun Martinelli tidak berputus asa dan meraih jaringan pada minit ke-27 bagi gol keempat Arsenal.

Gol kelima oleh Odegaard menerusi tendangan voli sejurus sebelum masa rehat memastikan Arsenal berada dalam kedudukan selesa dan mengukuhkan tempat pasukan England itu di peringkat selanjutnya.

Tidak cukup dengan lima jaringan, Jorginho melengkapkan perlawanan dengan jaringan keenam pasukannya menerusi satu sepakan penalti selepas bola mengena tangan Abduqodir Khusanov.

Pasukan Arteta sebenarnya dapat menjamin tempat mereka di peringkat 16 pasukan terakhir tanpa bermain jika PSV dikalahkan Sevilla.

Namun, PSV bangkit untuk menang 2-3 di padang lawan, sekali gus bermakna Arsenal terus melayakkan diri dengan bermain.

Arsenal mempunyai 12 mata daripada lima perlawanan, sementara PSV ada lapan mata.

Dalam perlawanan awal pagi Khamis itu, Arsenal nampaknya ingin ‘membalas dendam’ ke atas Lens – pasukan yang belum pernah kalah dalam tiga perlawanan Liga Juara-Juara sebelum ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg