Topik diikuti
Pergi ke BHkuArsenal kekal terbaik, Liverpool, Chelsea, Tottenham raih keputusan seri
Arsenal kekal terbaik, Liverpool, Chelsea, Tottenham raih keputusan seri
LONDON: Juara bertahan Arsenal mengumpul 12 mata penuh daripada empat perlawanan selepas bertungkus lumus meraih kemenangan 2-0 di Sunderland pada 12 September – mengekalkan terus kedudukannya di puncak carta Liga Perdana England (EPL).
Manakala Liverpool dan Chelsea pula, kedua-duanya diramal sebagai pencabar gelaran, hanya mampu mendapat keputusan seri.
Penalti yang diselamatkan oleh David Raya pada minit ke-55 terbukti penting buat Arsenal, yang mendahului dua minit kemudian menerusi gol pertama Bruno Guimaraes bagi kelab itu.
Bukayo Saka kemudiannya mengukuhkan kemenangan itu menerusi sepakan penalti jauh dalam waktu kecederaan.
Permulaan tersekat-sekat Liverpool pada musim liga ini berterusan apabila mereka bermain seri 0-0 di padang sendiri menentang Fulham, manakala Chelsea memerlukan gol penyamaan Joao Pedro pada separuh masa kedua untuk menyelamatkan hasil seri 2-2 di padang sendiri menentang Hull City, pasukan yang mengejutkan musim ini.
Aston Villa menjaringkan gol pertama mereka pada musim liga ini namun tewas 2-1 di padang sendiri semasa menentang Nottingham Forest, manakala Ipswich Town merampas kemenangan 3-2 menentang tuan rumah Crystal Palace yang hanya bermain dengan 10 pemain.
Bournemouth bermain seri 2-2 di padang sendiri menentang Brentford, manakala Tottenham Hotspur yang lemah menyerang kekal sebagai satu-satunya pasukan liga tertinggi yang belum menjaringkan gol, selepas bermain seri 0-0 di padang sendiri menentang Everton.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Tottenham, pasukan itu gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat perlawanan mereka dalam satu musim Liga Perdana England.
Daya tahan
Arsenal sekali lagi menunjukkan daya tahan yang membawa mereka meraih gelaran pertama dalam 22 tahun pada musim lalu.
Sunderland terbukti sukar ditangani dan sepatutnya mendahului lebih awal namun peluang Dan Ballard tersasar.
Tuan rumah diberikan penalti apabila Ezri Konsa menarik jatuh Ballard dalam kotak penalti, tetapi Raya berjaya menepis sepakan penalti Enzo Le Fee ke tiang gawang dan bola keluar. Dua minit kemudian, pemain gantian separuh masa kedua, Guimaraes, melepaskan sepakan yang melepasi Robin Roefs.
Sunderland cuba mendesak untuk menyamakan kedudukan tetapi Saka menamatkan perlawanan itu menerusi sepakan penalti, selepas Reinildo Mandava menjatuhkannya dan menerima kad kuning kedua.
Liverpool kini seri dalam tiga daripada empat perlawanan pembukaan Liga Perdana di bawah pengurus baharu Andoni Iraola, dan tiada banyak alasan untuk merungut selepas persembahan lemah menentang Fulham, yang meraih mata pertama mereka musim ini.
Peluang terdekat Liverpool untuk menjaringkan gol ialah menerusi Victor Munoz yang terkena palang gawang pada separuh masa pertama.
Iraola berkata usaha keras pasukannya pada 9 September bukanlah alasan.
“Ini akan menjadi musim kami,” katanya.
“Kami perlu mencari cara peluang untuk memenangi perlawanan dan cuba menjaringkan gol serta memenangi perlawanan yang memberi saingan kuat.
“Jelas sekali kami kekurangan kesegaran dan tidak mempunyai peluang untuk mencipta serangan, dan ini menjejas prestasi kami. Secara keseluruhannya, ini bukanlah persembahan yang baik,” tambahnya. – REUTERS.
