Mikel Arteta pernah berkata beliau “sentiasa mengawasi” pemain di setiap tempoh perpindahan untuk mencari pemain elit yang sedia berhijrah ke Arsenal.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, pula menyatakan kelab itu bergantung pada huraian dalaman dan tidak akan tergesa-gesa ke pasaran perpindahan untuk mengatasi isu kecederaan mereka.
Pep Guardiola pula sentiasa menganggap pembelian pemain pada Januari sebagai pelaburan untuk masa depan jangka panjang Manhester City.
Pada masa yang sama, di Liverpool, Arne Slot berdepan dengan dilema sama ada untuk membeli pemain baru atau kekal dengan skuad yang beraksi di bawah jangkaan walaupun setelah berbelanja mewah, termasuk untuk membeli Aleksander Isak yang kini cedera jangka panjang.
Apa pun pertimbangan pengurus kelab-kelab Liga Perdana England ini, pemain tetap menjadi tumpuan dalam tempoh perpindahan pemain yang berlangsung 1 Januari hingga 2 Februari ini.
Berita Harian sajikan senarai pemain Liga Perdana England (EPL) yang mungkin berpindah kelab pada Februari ini.
Bintang Bournemouth, Antoine Semenyo, adalah pemain EPL yang paling dikehendaki beberapa kelab menjelang jendela perpindahan Januari selepas permulaan musim baru yang hebat.
Pemain antarabangsa Ghana itu mempunyai klausa pelepasan 74 juta euro yang sah untuk dua minggu pertama jendela perpindahan musim sejuk dan sedang diburu oleh kelab-kelab seperti Arsenal, Liverpool, Man City, Man Utd dan Tottenham.
Masih belum diketahui siapa yang akan dipilihnya untuk sertai, tetapi beliau secara meluas dijangka akan meninggalkan Bournemouth bulan depan.
Saga perpindahan Mohamed Salah dijangka akan mendominasi jendela Januari selepas perbalahan terbuka bintang Mesir itu dengan Arne Slot di penghujung 2025.
Pemain itu, yang beraksi bak azimat bagi Liverpool sejak beberapa musim lalu sedang menempuhi antara musim paling mencabar di Liverpool dan kini dikaitkan dengan beberapa kelab lain, termasuk kelab di Arab Saudi.
Di luar dugaan, Kobbie Mainoo telah kehilangan tempat dalam skuad Ruben Amorim dan walaupun Ruben Amorim baru-baru ini melontar kata-kata pujian kepadanya, adalah ketara sumbangannya kepada kelab tidak dinilai begitu tinggi oleh pengurusnya itu.
Justeru, pada musim panas lalu, Mainoo mencuba untuk menyertai Napoli dalam Serie A sebagai pemain pinjaman, tetapi perpindahan itu tidak menjadi kerana United kurang pemain.
Keadaan yang sama kini boleh menyekat Mainoo yang ingin mendapat peluang beraksi lebih banyak di peringkat kelab untuk menambah peluang dipilih mewakili Ivory Coast di Piala Dunia nanti.
Axel Disasi telah disingkirkan daripada skuad utama Chelsea selepas prestasi buruk menentang Ipswich Town Disember lalu dan menghabiskan separuh kedua musim lalu sebagai pemain pinjaman di Aston Villa.
Beberapa perpindahan yang dicadangkan gagal menjadi kenyataan pada musim panas dan Disasi kini telah menyuarakan kerelaannya untuk dijual pada Januari, dengan beberapa kelab seperti Borussia Dortmund, Newcastle dan West Ham melahirkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.
Namun, pemain warga Perancis ini difahami lebih berminat kembali ke Perancis dan terpikat untuk menyertai Lyon.
Brennan Johnson merupakan penjaring gol terbanyak Tottenham musim lalu, dengan 18 gol dalam semua pertandingan.
Namun beliau tidak lagi menjadi pilihan pertama dalam kesebelasan utama Thomas Frank musim ini.
Pemain antarabangsa Wales itu telah memulakan kurang 10 perlawanan EPL musim ini dan desas-desus daripada ibu pejabat Spurs ialah kelab itu bersedia berpisah dengan Johnson.
Crystal Palace antara kelab yang disebut-sebut berminat mendapatkan khidmatnya, tetapi mereka dijangka menerima saingan hebat daripada kelab EPL yang lain untuk mendapatkan khidmat pemain sayap itu.
Sama seperti Mainoo, Joshua Zirkzee juga bergelut untuk mendapatkan masa bermain yang konsisten di Manchester United pada musim ini, selepas Ruben Amorim membawa masuk pemain seperti Bryan Mbeumo, Matheus Cunha dan Benjamin Sesko, yang menarik perhatian pengurus United itu.
Difahamkan, Zirkzee telah menerima tawaran daripada beberapa kelab di luar England, kebanyakannya di Serie A yang ingin membawanya ke Italy.
Zirkzee pernah beraksi dalam jersi Bologna, di mana beliau meraih ramai peminat.
Raheem Sterling bak ‘meledak’ apabila mula-mula melangkah ke Liga Perdana England (EPL) lebih sedekad yang lalu, tetapi kini, di penghujung kerjayanya, beliau bak pemain yang telah dilupakan.
Selepas dipinjamkan kepada Arsenal pada Ogos 2024, Sterling kembali ke Chelsea apabila gagal memenuhi jangkaan di Arsenal.
Beliau telah menerima beberapa tawaran lain, tetapi semuanya ditolak kerana beliau enggan meninggalkan London.
Bekas pemain antarabangsa England itu masih mempunyai baki 18 bulan dalam kontraknya di Chelsea tetapi kebanyakan tempoh itu dihabiskan dengan berlatih di luar skuad utama.
Nathan Ake kini berada dalam baki 18 bulan terakhir kontraknya di Manchester City dan masanya di Stadium Etihad secara meluas dijangka akan berakhir pada 2026.
Pemain pertahanan Belanda itu hanya bermain dua perlawanan dalam EPL dan Liga Juara-Juara Eropah sepanjang musim ini dan telah menjadi pemain simpanan yang tidak digunakan dalam sejumlah 12 perlawanan pada musim 2025-26.
Atletico Madrid, Crystal Palace, Inter Milan dan Juventus telah dikaitkan dengan pemain ini dan beliau dianggap tiada masa depan di City.
Marc Guehi hampir menyertai Liverpool musim lalu tetapi perjanjian lisan yang ada antara pemain dengan kededua kelab runtuh.
Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner, telah mengesahkan bahawa Guehi kemungkinan besar akan kekal di Selhurst Park untuk baki musim ini sebelum menjadi ejen bebas pada Julai, tetapi perpindahan Januari boleh berlaku sekiranya Liverpool memutuskan untuk mengemukakan tawaran yang sesuai.
Pemain bola sepak yang dilahirkan oleh akademi Chelsea ini hampir menyertai Fulham pada musim panas 2025, tetapi perpindahan itu tidak menjadi selepas Marco Silva membeli pemain sayap Shakhtar Donetsk, Kevin untuk menggantikannya.
George, pemain antarabangsa bawah 21 tahun England, agak kerap bermain untuk Chelsea pada minggu-minggu awal musim ini, tetapi tidak lagi disertakan dalam skuad utama sejak September.
Crystal Palace, Everton, Fulham, Southampton dan Strasbourg telah dikaitkan dengan pemain ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg