Arsenal raih kemenangan penting ke atas Chelsea, United naik ke tangga ketiga
Arsenal raih kemenangan penting ke atas Chelsea, United naik ke tangga ketiga
LONDON: Arsenal terus menentukan nasib kejuaraan Liga Perdana England (EPL) di tangan sendiri apabila mencatat kemenangan derbi 2-1 yang mendebarkan ke atas Chelsea pada 1 Mac, dengan taktik sepakan sudut sekali lagi menjadi penyelamat.
Kemenangan itu meletakkan Arsenal di kedudukan selesa dengan kelebihan lima mata ke atas Manchester City, yang sebelum itu telah mencatat kemenangan 1-0 ke atas Leeds United pada 28 Februari.
Manchester United pula naik ke kedudukan tiga teratas EPL buat kali pertama sejak Mei 2023 apabila berjaya menewaskan Crystal Palace 2-1 di Old Trafford pada 1 Mac.
United mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan di bawah kendalian pengurus sementara, Michael Carrick, yang namanya dilaungkan oleh penyokong sejurus tamat perlawanan.
Kemenangan Arsenal membawa pasukan itu kepada 64 mata daripada 29 perlawanan, manakala City mengumpul 59 mata daripada 28 perlawanan.
United pula memiliki 51 mata, mengatasi Aston Villa dengan kelebihan perbezaan jaringan.
“Terdapat perasaan bahawa anda perlu terus menang, menang dan menang, tetapi ia masih belum cukup untuk melebarkan jurang (mata terkumpul),” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
“Di sinilah terletaknya keindahan dan tahap persaingan liga ini.”
Chelsea berada di tangga keenam dengan 45 mata selepas memperoleh hanya dua mata dalam tiga perlawanan liga terakhir mereka.
Kekalahan pasukan itu adalah yang pertama dalam tujuh perlawanan liga di bawah pengurus baru, Liam Rosenior, dan ia menjadi tamparan kepada harapan mereka untuk menamatkan liga itu di kedudukan empat teratas.
Situasi Chelsea menjadi lebih sukar apabila Pedro Neto menerima dua kad kuning dalam tempoh tiga minit selepas Arsenal menjaringkan gol, menjadikannya pemain ketujuh Chelsea yang diberi kad merah pada musim ini.
“Ini adalah perkara yang perlu kami perbaiki, bukan hanya Pedro tetapi sebagai satu pasukan, supaya kami sentiasa mempunyai 11 pemain di atas padang,” kata pengurus Rosenior yang pasukannya juga tewas kepada Arsenal pada separuh akhir Piala Liga pada Februari lalu.
Arsenal membuka jaringan daripada sepakan sudut kapten Bukayo Saka, yang disambut oleh Gabriel Magalhaes, dengan William Saliba kemudian menanduk masuk ke gawang.
Chelsea menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila sepakan sudut Reece James terkena kepala pemain Arsenal, Piero Hincapie, sebelum masuk ke dalam gawang.
Ketegangan meningkat selepas rehat separuh masa, namun hantaran daripada Declan Rice yang disambut Jurrien Timber telah mengembalikan kelebihan Arsenal dengan gol liga ke-16 mereka daripada sepakan sudut musim ini.
Sementara itu, United ketinggalan apabila pemain pertahanan tengah Crystal Palace, Maxence Lacroix, menjaringkan gol hanya selepas empat minit.
Namun, kapten Bruno Fernandes menyamakan kedudukan daripada tendangan penalti selepas Matheus Cunha dijatuhkan oleh Lacroix – yang kemudian diberi kad merah.
Fernandes kemudian menghantar bola ke petak penalti yang disempurnakan oleh Benjamin Sesko pada minit ke-65.
“Ini keputusan yang besar, kami ketinggalan dan perlu menunjukkan semangat juang,” kata Fernandes kepada Sky Sports.
“Masih banyak perlawanan yang perlu diharungi (dalam usaha merebut kedudukan empat teratas) dan penting untuk kami tidak berasa seolah-olah kami sudah berada di kedudukan selesa. Kami perlu mengumpul sebanyak mungkin mata.”
Sementara itu, Tottenham Hotspur, yang berada dalam kelompok tercorot liga, berdepan kebimbangan penyingkiran selepas tewas 1-2 kepada Fulham.
Keputusan ini sekali gus memanjangkan rekod tanpa kemenangan mereka dalam EPL kepada 10 perlawanan dan meninggalkan mereka hanya dengan kelebihan empat mata di atas West Ham United, yang menduduki tangga ke-18.
Satu-satunya kelegaan buat Tottenham yang berada di tangga ke-16 ialah Nottingham Forest kekal di bawah mereka selepas tewas 1-2 dengan Brighton. – Reuters.

