MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, gembira dengan gaya Joshua Zirkzee memulakan kerjayanya dalam Liga Perdana England (EPL), dan mengharapkan lebih banyak prestasi serupa daripada penyerang barunya apabila mereka membuat perjalanan ke Brighton and Hove Albion pada 24 Ogos.
Zirkzee, yang dibeli United daripada Bologna pada Julai, dimasukkan dari bangku simpanan untuk menjaringkan satu-satunya gol dalam kemenangan 1-0 ke atas Fulham, dalam perlawanan pembukaan EPL United pada 16 Ogos.
Pemain asal Belanda setinggi 193 sentimeter itu dikenali kerana kelincahannya menggelecek bola.
“Sangat menggembirakan, seorang pemain yang merupakan penyerang menjaringkan gol sulungnya dalam perlawanan pertamanya,” kata Ten Hag kepada wartawan pada 22 Ogos.
“Ia akan memberinya keyakinan...
“Saya memberikan perbandingan tahun lalu (2023) dengan Rasmus Hojlund bahawa apabila beliau menjaringkan gol menentang Brighton, yang mana VAR (video penolong pengadil) menyemaknya, dan lima minit kemudian mereka membuat kesimpulan bahawa bola melepasi garisan luar ketika ia diumpan kepada Hojlund dan beliau terpaksa menunggu tiga bulan untuk gol pertamanya dalam Liga Perdana.
“Jadi, kemampuan menjaringkan gol sulungnya benar-benar membantu (Zirkzee), ia memberi beliau keyakinan, juga kepada kami sebagai satu pasukan. Kemajuan yang sangat baik.”
Hojlund, yang menjaringkan 10 gol liga musim lalu, masih tidak dapat beraksi pada minggu ini kerana kecederaan otot paha, bersama Luke Shaw, Tyrell Malacia dan Victor Lindelof.
“(Lindelof) mempunyai masalah pada jari kakinya. Mudah-mudahan, beliau boleh kembali dengan cepat tetapi tidak boleh diturunkan pada hujung minggu,” kata Ten Hag.
Pengurus itu menjawab dengan cara beralas mengenai status Jadon Sancho, yang kembali ke United pada Julai selepas mengalami pertengkaran secara terbuka dengan Ten Hag pada 2023, yang menyebabkan beliau menamatkan musim 2023/2024 bersama Borussia Dortmund.
Sancho tidak beraksi dalam skuad Ten Hag menentang Fulham.
“Kita akan lihat. Anda memerlukan semua pemain sepanjang musim kerana hanya yang paling cergas akan dapat bertahan,” kata Ten Hag.
“Kami perlu menguruskan pemain dalam skuad. Sikap pemain sangat penting, kadangkala mereka akan kecewa kerana tidak berada dalam kesebelasan utama tetapi mereka perlu menanganinya. Anda menang sebagai satu skuad.
“Hadiah (daripada usaha gigih ini) diputuskan pada Mei depan dan sehingga itu kami memerlukan semua pemain dalam skuad dan bermotivasi tinggi. Itu bukan jangkaan, itu adalah tuntutan atas skuad. Pasukan sentiasa lebih penting daripada mana-mana individu,” tambah Ten Hag.
The Reds dan Brighton telah bertemu 33 kali sebelum hujung minggu ini, dengan United memenangi 20 daripada perlawanan tersebut.
Pertembungan kali terakhir adalah di Stadium Amex, apabila Diogo Dalot dan Hojlund menemui sasaran untuk membantu United menang 2-0 dalam perlawanan terakhir liga musim lalu.
Bekas penyerang United, Danny Welbeck, adalah wajah yang tidak asing lagi dalam barisan pemain Brighton, dengan pemain berusia 33 tahun itu menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 pasukan ke atas Everton, dalam perlawanan pembukaan liga mereka pada 17 Ogos.
Dalam aksi liga lain pada hujung minggu ini, pengurus Arsenal dahulu dan sekarang – Unai Emery dan Mikel Arteta – bakal bertembung di West Midlands pada 24 Ogos apabila The Gunners menentang Aston Villa.
Kedua-dua pasukan mempunyai tiga mata selepas satu perlawanan, dengan Villa, yang kini dibimbing Emery, mengalahkan West Ham United 2-1 pada hujung minggu lalu, manakala anak didik Arteta meledakkan dua gol tanpa balas untuk menewaskan Wolverhampton Wanderers. – Agensi berita.
“
“... Kemampuan menjaringkan gol sulungnya benar-benar membantu (Zirkzee), ia memberi beliau keyakinan, juga kepada kami sebagai satu pasukan. Kemajuan yang sangat baik.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg