LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berpuas hati dengan semangat juang pasukannya untuk terus mencabar kejuaraan Liga Perdana England (EPL), selepas kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur, hasil tandukan Gabriel Magalhaes, pada 15 September.
The Gunners, yang tidak dapat menurunkan pemain tonggak utama Declan Rice dan Martin Odegaard, kekal belum kalah musim ini dan berada dua mata di belakang pendahulu Manchester City – pasukan yang mencapai empat kemenangan berturut-turut.
Arteta mengatakan bahawa sejak aksi antarabangsa, mereka mengalami beberapa kecederaan namun pasukannya mampu menunjukkan kematangan untuk bertindak balas.
“Apabila mereka (Spurs) masuk ke bahagian pertiga terakhir padang, ia sangat sukar kerana mereka mempunyai struktur. Kami kehilangan beberapa pemain penting dan kami terpaksa bertindak balas terhadapnya. Kami terpaksa menyesuaikan diri dan menggunakan pemain dan kualiti yang berbeza.
“Dan apabila kami perlu bertahan di kawasan pertahanan, kami melakukannya dengan sangat baik. Ada perkara yang perlu diperbaiki tetapi kami mempunyai satu lagi kemenangan di sini dan ia sangat penting,” tambah Arteta.
Arsenal beraksi tanpa kapten, Odegaard, akibat kecederaan buku lali yang dialami ketika mewakili pasukan negaranya Norway, manakala Rice menjalani penggantungan selepas dilayang kad merah semasa menentang Brighton & Hove Albion.
Kehilangan dua pemain berpengaruh itu menimbulkan kesukaran bagi Arsenal di utara London.
Tetapi pencabar kejuaraan EPL itu mempamerkan semangat juang kental dengan permainan agresif, sebelum Gabriel menanduk masuk gol kemenangan pada separuh masa kedua.
Gol pertama oleh pemain pertahanan Brazil itu memberi Arsenal kemenangan ketiga sejak Februari dalam empat perlawanan liga, ketika mereka memburu gelaran liga pertama sejak 2004 setelah muncul naib juara dua musim berturut-turut.
Arsenal kini telah memenangi tiga lawatan terakhir mereka ke Tottenham, hanya tewas sekali, pada Mei 2022, dalam lapan pertemuan terakhir mereka dengan jiran mereka itu.
The Gunners akan mengalihkan perhatian mereka kepada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara di padang Atalanta pada 19 September sebelum bertandang menentang City, kendalian Pep Guardiola, pada 22 September.
Newcastle United pula dalam perjalanan untuk menduduki empat tempat teratas dalam EPL.
Walaupun musim masih di peringkat awal, anak didik Eddie Howe menunjukkan keinginan yang tinggi selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol dengan dua jaringan jarak jauh dalam masa lima minit separuh masa kedua untuk menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-1 di Molineux pada 15 September.
Kemenangan itu membawa mereka ke tempat ketiga dalam kedudukan, berkongsi 10 mata dengan Arsenal di tempat kedua dan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.
“Saya fikir kami sedang melangkah ke hadapan dari segi persembahan kami. Saya fikir ia adalah ke arah yang betul.
“Kami masih boleh menunjukkan peningkatan dan itulah yang akan kami usahakan minggu ini. Kami adalah kumpulan yang sangat rapat dan kami perlu kekal seperti itu,” kata Howe.
Fabian Schar menyamakan kedudukan Newcastle pada minit ke-75 selepas rembatannya terpesong masuk gawang sekali gus membatalkan gol babak pertama kapten Wolves, Mario Lemina.
Harvey Barnes kemudian merembat masuk gol kemenangan lima minit kemudian.
Kedua-dua usaha itu dihasilkan dari luar kawasan penalti dan secara dramatik mengubah keputusan perlawanan, selepas Wolves menguasai sebahagian besar perlawanan.
Pasukan tuan rumah kekal di tangga tiga terbawah, memungut hanya satu mata daripada empat perlawanan pembukaan kempen mereka.
Howe juga memberi pujian khas kepada Barnes yang memenangi perlawanan.
“Kualitinya tidak terhad dan beliau seorang pemain sayap yang boleh menjaringkan gol, tidak ramai yang sepertinya. Beliau adalah salah seorang pemain sayap yang mempunyai kesudahan terbaik yang pernah saya lihat,” kata pengurus Newcastle itu.
“Pemain sayap yang boleh menjaringkan gol yang berkualiti adalah sedikit dan selagi beliau kekal cergas, beliau akan menjadi pemain utama untuk kami musim ini.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg