LONDON: Erik ten Hag pada 12 September mengetepikan kritikan Cristiano Ronaldo yang mendakwanya tidak bercita-cita tinggi, sebaliknya berkata bekas bintang Manchester United itu tidak tahu situasi sebenar di Old Trafford.
Tempoh kedua Ronaldo di United berakhir dengan perpisahan berprofil tinggi pada November 2022 selepas beliau membuat kritikan pedas terhadap pengurus asal Belanda itu.
Penyerang Al-Nassr berusia 39 tahun itu sekali lagi mencetuskan ketegangan dengan mengkritik ten Hag awal minggu ini, mengatakan sikapnya terlalu negatif untuk kelab seperti United yang dihormati ramai.
Ronaldo memberitahu podcast, Rio Ferdinand Presents:
“Jurulatih Manchester United, anda tidak boleh mengatakan bahawa anda tidak akan berjuang untuk memenangi liga (Perdana) atau Liga Juara-Juara.
“Anda perlu berkata secara mental, ‘...Mungkin kami tidak mempunyai potensi itu, tetapi saya tidak boleh mengatakannya. Kami akan mencuba’.”
Ronaldo juga berkata kelab itu perlu “membangunkan semula segalanya”.
Ten Hag pernah berkata bahawa beliau “agak yakin” untuk memenangi lebih banyak trofi musim ini selepas menjulang Piala Liga dan Piala FA sejak dua musim lalu.
Bagaimanapun, pada Julai lalu, pengurus itu mengakui bahawa pasukannya “jauh” daripada bersedia untuk menjuarai Liga Perdana England (EPL).
Kali terakhir United menjulang trofi itu adalah pada 2013 semasa Alex Ferguson masih menjadi pengurus.
United mengharungi kempen EPL paling teruk pada musim lalu, menduduki tempat kelapan.
Pasukan bergelar The Red Devils itu akan bertandang ke Southampton pada 14 September dalam EPL, setelah tewas dua daripada tiga perlawanan musim ini. United kini berada di tangga ke-14 EPL.
Menjawab kritikan Ronaldo mengenai mentaliti beliau, ten Hag berkata:
“Beliau berada jauh di Saudi, jauh dari Manchester. Semua orang berhak mempunyai pendapat sendiri. Tidak mengapa.”
Temu bual bersama Ronaldo dibuat setelah tempoh rehat antarabangsa, selepas United kalah 0-3 di tempat sendiri kepada musuh ketatnya, Liverpool.
Bagaimanapun, ten Hag berkata beliau tidak membiarkan kekalahan itu menjejasnya.
“Ia tidak memberi kesan kepada saya. Saya tahu... di mana kami berada, apa yang perlu kami lakukan, ke mana kami akan pergi.
“Saya sudah katakan sebelum ini bahawa kami masih dalam tempoh peralihan. Kami perlu mengambil ramai pemain muda juga dalam pasukan ini.
“Kami masih menangani kecederaan (pemain). Tetapi sebelum sesiapa menganggapnya sebagai satu alasan, tidak, kami masih perlu menang setiap perlawanan.
“Kami akan fokus pada setiap perlawanan dan mempunyai minda bahawa kami perlu menang setiap perlawanan,” tegas beliau.
Ten Hag juga mengesahkan bahawa penyerang, Rasmus Hojlund, dan pemain pertahanan, Luke Shaw, tidak bersedia untuk perjalanan ke Southampton.
Kededua pemain itu masih belum membuat penampilan pada musim ini kerana kecederaan mereka. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg