LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, terkejut apabila pasukannya gagal menewaskan Manchester United yang bermain dengan hanya 10 pemain.
Ini berlaku dalam pusingan ketiga Piala FA pada 12 Januari, selepas mereka tewas menerusi penentuan sepakan penalti setelah seri 1-1 selepas masa tambahan.
Pada minit ke-63, Arsenal menyamakan kedudukan apabila Gabriel Magalhaes membalas gol pembukaan Bruno Fernandes, selepas pemain United, Diogo Dalot, dilayangkan kad merah.
Arsenal hampir mendahului United selepas menerima penalti yang kontroversial.
Namun, sepakan penalti kapten Martin Odegaard diselamatkan Altay Bayindir, yang juga menyelamatkan tendangan penalti Kai Havertz, yang membantu United mara ke pusingan keempat.
Arsenal mempunyai banyak peluang menjaringkan gol kemenangan ketika kedudukan 1-1, dengan Havertz mensia-siakan peluang mudah pada 10 minit terakhir.
Arteta sukar mempercayai pasukannya tewas.
“Luar biasa bagaimana kami tidak memenangi perlawanan ini,” katanya kepada wartawan.
“Dominasi, kelebihan berbanding pihak lawan dan segala usaha yang kami lakukan untuk menang, tetapi itulah akhirnya.
“Kami jelas tidak memperoleh apa yang sepatutnya, tetapi ada elemen penting iaitu memasukkan bola ke dalam gawang.
“Kami melakukannya sekali, dan dengan begitu banyak peluang, situasi, penalti yang kami peroleh, kami tidak berjaya melakukannya lagi.
“Kami pulang dengan perasaan sangat sedih, tetapi saya tetap bangga dengan pemain saya,” tambahnya lagi.
Arsenal menghadapi perlawanan pada 12 Januari tanpa kalah dalam 10 perlawanan Liga Perdana dan telah mengurangkan jurang dengan Liverpool kepada enam mata, walaupun bermain satu perlawanan lebih.
Namun, penyingkiran daripada Piala FA selepas tewas 2-0 kepada Newcastle United di perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga, mengurangkan peluang Gunners menjulang trofi musim ini.
Arsenal akan menerima kunjungan seteru setempat, Tottenham Hotspur, di Stadium Emirates pada 15 Januari.
Namun Arteta menepis sebarang tekanan tambahan selepas dua kekalahan berturut-turut dalam kejohanan dan menegaskan fokusnya adalah pada mutu prestasi pasukan.
Gabriel Jesus diusung keluar padang menggunakan pengusung dengan jelas menunjukkan kesakitan.
Arteta melahirkan kebimbangannya bahawa penyerang Brazil itu mungkin terpaksa berehat untuk jangka masa yang panjang.
“Kebimbangan yang besar, itu perasaan saya,” kata Arteta.
“Beliau terpaksa dikeluarkan menggunakan pengusung akibat kesakitan yang teruk, sambil memegang lututnya, dan keadaannya kelihatan tidak begitu baik.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg