Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kecederaan Bentancur tidak halang Spurs kejutkan Liverpool

Pasukan pimpinan Slot perlu bangkit jika mahu layak ke final Piala Liga
Jan 9, 2025 | 4:30 PM
Pemain tengah Tottenham, Rodrigo Bentancur, mengalami kecederaan di bahagian kepalanya akibat terjatuh, semasa cuba membuat tandukan, di sudut padang.
Pemain tengah Tottenham, Rodrigo Bentancur, mengalami kecederaan di bahagian kepalanya akibat terjatuh, semasa cuba membuat tandukan, di sudut padang. - Foto REUTERS

LONDON: Pemain tengah Tottenham Hotspur, Rodrigo Bentancur, berada dalam keadaan sedar dengan keadaannya dipantau di hospital selepas mengalami kecederaan kepala pada awal perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga menentang Liverpool.

Pemain Uruguay itu cuba menanduk bola semasa satu tendangan sudut sebelum terjatuh dan kepalanya terhantuk di padang. Selepas hampir 10 minit diberikan rawatan di atas padang, beliau diusung keluar.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi kerana saya juga apa sebenarnya yang berlaku,” kata pengurus Spurs, Ange Postecoglou, kepada media apabila ditanya mengenai insiden itu selepas perlawanan.

“Apa yang saya tahu ialah beliau dalam keadaan sedar ketika diusung keluar padang. Jelas sekali ia adalah kecederaan kepala, tetapi beliau dalam keadaan sedar ketika dibawa keluar padang.

“Dan beliau telah dibawa ke hospital untuk pemerhatian. Tetapi saya tidak begitu jelas tentang bagaimana ia berlaku. Melainkan saya mendapatkan seorang doktor di sini, saya tidak akan membuat spekulasi kerana ia tidak adil kepada orang di sekelilingnya.”

Bentancur baru-baru ini kembali daripada digantung oleh kelab itu bagi tujuh perlawanan selepas membuat kenyataan yang tidak sesuai mengenai kapten Spurs, Son Heung-min, dalam satu temu bual di Uruguay.

Insiden itu bagaimanapun tidak menjejas prestasi Spurs yang menewaskan Liverpool, pendahulu Liga Perdana England (EPL), 1-0 dalam pertemuan pertama separuh akhir yang penuh kontroversi itu.

Gol Lucas Bergvall memberikan Spurs kelebihan untuk dibawa ke Anfield, namun Liverpool telah mempertikaikan jaringan pemain muda berusia 18 tahun itu empat minit sebelum tamat perlawanan.

Bergvall dilayangkan kad kuning apabila beliau menerkam pemain pertahanan Liverpool, Kostas Tsimikas, dalam insiden yang tidak dilihat oleh pengadil Stuart Attwell.

Tsimikas masih berada di luar padang apabila Bergvall menjaringkan gol beberapa saat kemudian, mencetuskan reaksi penuh kemarahan daripada bos Liverpool, Arne Slot.

Spurs bagaimanapun wajar mencatatkan kemenangan selepas Pedro Porro terlepas peluang baik manakala Dominic Solanke menyaksikan jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.

Namun, cara kemenangan mereka akan meninggalkan rasa pahit buat Liverpool, yang hanya mengalami kekalahan kedua mereka di bawah pimpinan Slot.

Liverpool nyaris menjaringkan gol apabila rembatan pemain gantian, Trent Alexander-Arnold, dikuis dari garisan oleh Radu Dragusin. Bagaimanapun, ia adalah persembahan yang sangat mengecewakan oleh pendahulu EPL itu.

Selain daripada kontroversi ini, Slot dan pasukannya tentunya akur prestasi pasukan itu adalah yang jauh di bawah standard yang mereka tetapkan musim ini.

Slot menampilkan pasukan yang kuat, dengan kapten Virgil van Dijk dan Mohamed Salah dalam kesebelasan utama.

Namun, Liverpool terkial-kial dan kelihatan tidak bersemangat dengan pertahanan mereka sering diceroboh barisan pemain Spurs.

Mereka kini perlu bangkit dalam pertemuan kedua di Anfield nanti jika mahu melayakkan diri ke final pertandingan ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg