Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Everton menang walau pengurus dipecat jelang perlawanan

Sean Dyche dipecat hanya tiga jam sebelum perlawanan menentang Peterborough.
Jan 10, 2025 | 4:40 PM
Sean Dyche, pengurus Everton, dipecat tiga jam sebelum bermulanya perlawanan menentang Peterborough di Piala FA.
Sean Dyche, pengurus Everton, dipecat tiga jam sebelum bermulanya perlawanan menentang Peterborough di Piala FA. - Foto Reuters

Everton berada dalam keadaan huru-hara beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pelbagai isu di dalam dan di luar padang.

Pemilik baru Kumpulan Friedkin telah berjanji akan menunjukkan komitmen mereka kepada kelab “melalui tindakan, bukan kata-kata” apabila selesai mengambil alih pada Disember lalu.

Mereka menepati kata-kata itu dengan membuat keputusan besar menamatkan khidmat Sean Dyche secara tiba-tiba – hanya tiga jam sebelum bermulanya perlawanan menentang Peterborough dalam pusingan ketiga Piala FA.

Ketua jurulatih Everton Bawah-18 tahun, Leighton Baines, dibawa masuk sebagai pengurus sementara bersama kapten Seamus Coleman.

Selepas kemenangan 2-0, Baines memberitahu media bahawa “ia pastinya merupakan hari yang sukar”.

“Apabila seorang pengurus kehilangan pekerjaan, ia bukanlah perkara baik dan ia biasanya diikuti dengan tempoh sukar. Walaupun demikian, perlu ada harapan dan keyakinan.

“Perubahan berlaku di kelab bola sepak dengan pemilikan dan stadium baru. Pengurus terpaksa pergi walau itu bukan yang dimahukan. Pengurus baru akan dilantik dan ini membuka peluang lain.

“Kelab bola sepak perlukan kestabilan dan itulah mesej daripada pemilik apabila mereka mengambil alih. Setiap orang kena terima hakikat ini.”

Everton memulakan era baru dengan kemenangan 2-0 dalam Piala FA pusingan ketiga ke atas pasukan Liga Satu, Peterborough United hasil jaringan Beto dan Iliman Ndiaye.

Beto menjaringkan gol yang dirintis oleh Harrison Armstrong pada minit ke-42 di Goodison Park, dengan mengelirukan penjaga gol Nicholas Bilokapic sebelum menjaringkan gol.

Ndiaye memastikan kemenangan Everton melalui sepakan penalti pada minit ke-98.

Dalam perlawanan itu, penyerang Everton, Armando Broja, telah diusung keluar sebelum tamat masa dan diberi rawatan, termasuk oksigen, akibat kecederaan serius pada buku lali.

Kecederaan Broja dan masa rawatan di padang yang panjang menjejas rentak permainan Peterborough.

“Saya meminta pemain berlaku adil dan mereka melakukan lebih daripada itu,” kata pengurus Peterborough, Darren Ferguson kepada BBC.

“Kami telah memberi (Everton) satu perlawanan sengit. Hanya pada saat-saat akhir perlawanan mereka berjaya memastikan kemenangan.”

Perlawanan itu kelihatan akan menjadi yang pertama dalam sejarah 154 tahun pertandingan menampilkan seorang bapa bermain menentang anaknya, namun ia terjadi.

Ashley Young dari Everton masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua tetapi anak lelakinya, Tyler, yang berusia 18 tahun kekal di bangku simpanan Peterborough. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg