LONDON: Ujian besar kedua Arsenal bagi musim ini berakhir tanpa kemenangan.
Jaringan lewat Gabriel Martinelli berjaya menyelamatkan mereka daripada kekalahan ketika menentang Manchester City pada 21 September.
Namun, keputusan seri 1-1 itu gagal memberi gambaran kukuh bahawa mereka benar-benar pencabar kejuaraan Liga Perdana England (EPL) kali ini.
Selepas tewas 1-0 kepada juara bertahan EPL, Liverpool, pada 31 Ogos, kemenangan ke atas City dilihat sebagai satu keperluan.
City mendahului awal perlawanan menerusi jaringan Erling Haaland.
Arsenal kelihatan tumpul di hadapan gol, dengan penyerang baru mereka, Viktor Gyokeres, sekali lagi mendapati sukar menjaringkan gol tanpa sokongan bermutu.
City pula dilihat selesa bertahan dan seakan mampu mengekalkan kelebihan mereka, sehinggalah Martinelli menyempurnakan hantaran bijak daripada pemain gantian Eberechi Eze untuk menyamakan kedudukan dan mengelak kekalahan liga kedua musim ini bagi Arsenal.
Eze, seorang lagi pemain baru Arsenal, dan Bukayo Saka dimasukkan pada separuh masa kedua, menonjolkan kekuatan serangan yang dimiliki pengurus, Mikel Arteta.
Namun, pada masa yang sama, ia menimbulkan persoalan sama ada beliau masih mencari formula terbaik untuk menyusun kesebelasan utamanya.
Namun, dari sudut positif, Arteta kini merupakan pengurus pertama yang tidak tewas dalam lima perlawanan liga berturut-turut menentang pengurus Manchester City, Pep Guardiola, dengan dua kemenangan dan tiga keputusan seri.
“Rekod itu tidak menggembirakan saya, kerana apa yang saya mahu hari ini adalah kemenangan,” kata Arteta.
Pengurus dari Sepanyol itu berkata pasukannya bermain lebih baik kali ini berbanding ketika mereka menewaskan City 5-1 musim lalu.
Namun Arsenal kini di tangga kedua EPL dan sudah pun ketinggalan lima mata di belakang Liverpool.
“Saya sangat bangga dengan pemain saya, dengan cara kami bermain dan bagaimana kami menguasai hampir setiap aspek permainan,” kata Arteta, yang pasukannya telah menamatkan musim sebagai naib juara EPL buat tiga musim berturut-turut.
“Tetapi saya sangat kecewa kerana tidak berjaya menang.”
Arsenal akan menentang Newcastle United pada 28 September, sebelum tiga perlawanan antara jiran sebandar di London menentang West Ham United, Fulham dan Crystal Palace.
Sasaran Arsenal jelas, untuk memperoleh kesemua 12 mata jika mahu terus mengejar Liverpool. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg