Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendekatan pertahanan City hanya menyaksikan seri menentang Arsenal

Sep 22, 2025 | 5:33 PM
Pep Guardiola memuji prestasi Arsenal untuk menguasai perlawanan selepas Manchester City menggunakan lima pemain pertahanan, seraya akur pasukannya kini dalam proses peralihan.
Pep Guardiola memuji prestasi Arsenal untuk menguasai perlawanan selepas Manchester City menggunakan lima pemain pertahanan, seraya akur pasukannya kini dalam proses peralihan. - Foto REUTERS

LONDON (ENGLAND): Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengakui bahawa beliau kecewa strateginya untuk bertahan membolehkan penyerang Arsenal, Gabriel Martinelli, menjaringkan gol pada lewat perlawanan untuk memaksa keputusan seri 1-1 pada 21 September.

Tidak seperti biasa, Guardiola membuat keputusan untuk bertahan pada separuh masa kedua di kubu Arsenal, Stadium Emirates, demi mempertahankan kedudukan Manchester City setelah Erling Haaland menjaringkan gol awal pada minit kesembilan.

Namun, keputusan beliau menggantikan Haaland dan penyerang England, Phil Foden, untuk meletakkan lima pemain bagi memperkukuhkan bentengnya tidak membuahkan hasil.

Pada minit ke-93, Martinelli mengatasi perangkap ofsaid dengan gerakan lincah untuk menyambut hantaran tepat Eberechi Eze yang menembusi benteng City.

Martinelli kemudian mengungkit bola melepasi penjaga gawang Gianluigi Donnarumma untuk menyamakan kedudukan.

Akibat menggunakan strategi itu, City hanya mampu mengawal 32.8 peratus permainan, kadar paling rendah oleh pasukan pimpinan Guardiola dalam sebarang perlawanan Liga Perdana England (EPL).

Pengurus asal Sepanyol itu memuji persembahan Arsenal sambil mengatakan bahawa pasukannya berada dalam proses peralihan.

“Saya mengakui Arsenal bermain dengan lebih baik, walaupun kami bermain dengan lima pemain pertahanan...

“Saya perlu membuktikan diri saya sekali lagi dengan strategi itu. Kini pasukan saya sedang melalui perubahan,” kata Guardiola.

Keputusan Guardiola bertahan kelihatan serupa dengan strategi ‘musuh ketatnya’, Jose Mourinho, mencerminkan beliau terdesak mempertahankan kedudukannya untuk menang selepas melalui permulaan musim yang hambar.

Kini, City menduduki tempat kesembilan antara 20 pasukan dan tercicir lapan mata di belakang Liverpool yang mendahului EPL.

Guardiola telah berbelanja banyak untuk membawa masuk ramai pemain muda dalam dua jendela perpindahan yang lalu, tetapi kekurangan pengalaman dalam pasukannya menjadi ketara setelah City hanya mampu memenangi dua daripada lima perlawanan EPL setakat ini.

Walaupun kecewa dengan keputusan seri menentang Arsenal, Guardiola memuji semangat pasukannya, sesuatu yang tidak kelihatan pada musim EPL 2024/25.

“Untuk musim ini, keputusan tidak begitu penting bagi saya... Saya mahu lihat semangat kami kembali.

“Kami hilang semangat ini musim lalu dan kami perlu menghidupkannya sekali lagi... kami berjaya melakukannya minggu ini,” kata Guardiola – AFP, Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg