Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arteta salahkan bola

Jan 8, 2025 | 5:22 PM
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata beliau tidak akan memberitahu pemainnya supaya mengubah apa-apa, tetapi mereka perlu menyesuaikan diri pada bola yang digunakan dalam Piala Carabao kerana “ia sangat berbeza daripada bola EPL”.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata beliau tidak akan memberitahu pemainnya supaya mengubah apa-apa, tetapi mereka perlu menyesuaikan diri pada bola yang digunakan dalam Piala Carabao kerana “ia sangat berbeza daripada bola EPL”. - Foto REUTERS

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, masih percaya pasukannya berupaya mara ke final Piala Carabao, tetapi berkata pemainnya harus bijak menguasai bola ‘licik’ yang digunakan dalam pertandingan itu.

The Gunners kalah 2-0 di tangan Newcastle pada perlawanan separuh akhir pertama dek gol Alexander Isak dan Anthony Gordon, pada 7 Januari.

Arsenal mempunyai 23 peluang untuk menjaringkan gol tetapi hanya tiga yang tepat, apabila tendangan Gabriel Martinelli terkena tiang dan Kai Havertz menanduk peluang mudah melebar.

Apabila ditanya mengenai peluang yang terlepas dalam sidang media selepas perlawanan itu, Arteta berkata beliau tidak akan memberitahu pemainnya supaya mengubah apa-apa, tetapi menyebut tentang kesan bola itu.

“Kami menendang bola di atas palang banyak kali, dan ia sukar kerana bola itu sering berterbangan, jadi ada beberapa perkara yang boleh kami lakukan dengan lebih baik,” katanya.

“Tetapi itu sudah berlalu – tidak boleh berpatah balik, ia mengenai perlawanan seterusnya dan itulah dunia kami, realitinya ialah dunia kami.

“Ia hanya separuh masa. Apabila saya melihat pasukan saya bermain, dan bagaimana kami menangani banyak situasi dan bermain menentang pasukan yang sangat baik, saya mesti mengatakan saya mempunyai keyakinan penuh bahawa kami boleh pergi ke sana dan mencapainya.”

Sebelum kekalahan kepada Newcastle, The Gunners menjaringkan 11 gol dalam tiga perlawanan Piala Liga Bola Sepak England (EFL), yang kini dipanggil Piala Carabao, setakat musim ini.

Bola bagi pertandingan itu dibuat oleh Puma, manakala bola yang digunakan dalam Liga Perdana England (EPL) dihasilkan oleh Nike.

“Ia berbeza,” kata Arteta apabila diminta menjelaskan lebih terperinci mengenai bola.

“Ia sangat berbeza daripada bola EPL, dan anda perlu menyesuaikan diri dengan itu kerana ia terbang berbeza.

“Apabila anda menyentuhnya, cengkamannya juga sangat berbeza, jadi perlu menyesuaikan diri dengannya.”

Walaupun Arsenal terpaksa menerima padah kerana tidak mempunyai penamat yang baik semasa menentang Magpies, angka daripada tiga perlawanan mereka sebelum itu dalam pertandingan semasa tidak menunjukkan bola menjadi satu masalah bagi mereka.

Mereka membelasah Bolton 5-1 dalam perlawanan pembukaan, sebelum menewaskan Preston 3-0 dan Crystal Palace 3-2 untuk mara ke suku akhir.

Statistik jaringan mereka dalam Piala EFL juga secara amnya serupa kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara Eropah, yang bolanya dihasilkan oleh Adidas.

Sebelum perlawanan separuh akhir pertama itu, 27 daripada 51 tendangan Arsenal dalam Piala EFL musim ini tepat pada sasaran – purata 53 peratus.

Dalam EPL, 102 daripada 197 tendangan Arsenal tepat pada sasaran – purata 52 peratus.

Dalam UCL, 33 daripada 57 tendangan Arsenal tepat pada sasaran – purata 58 peratus. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg