LONDON: Pengurus Newcastle United, Eddie Howe, menggesa anak buahnya supaya kekal berhati-hati walaupun selepas kelabnya menewaskan Arsenal 2-0 pada 7 Januari.
Kemenangan itu meletakkan pasukannya dalam kedudukan yang baik untuk ke peringkat akhir Piala Liga Bola Sepak England (EFL), yang juga dipanggil Piala Carabao.
Gol jaringan Alexander Isak dan Anthony Gordon pada kedua-dua separuh masa memberikan pasukan Magpies kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan, dan meletakkan mereka dalam kedudukan baik bagi perlawanan separuh akhir kedua di St James’ Park pada Februari.
Howe pernah membawa Newcastle ke peringkat akhir Piala Liga pada 2023, namun gagal membawa pulang trofi pertama mereka sejak 1955, apabila ditewaskan oleh Manchester United di Wembley.
Walaupun penyokong merai kemenangan mereka, pengurus Magpies itu menegaskan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk sampai ke perlawanan akhir menentang Liverpool atau Tottenham Hotspur.
“Hari ini merupakan satu kemajuan besar, apabila anda melihat pada prestasi yang kami hadapi di tempat lawan baru-baru ini,” kata Howe kepada Sky Sports.
Beliau mengakui pasukannya mempunyai beberapa masalah pada separuh masa kedua ketika Arsenal terdesak untuk menjaringkan gol, namun berkata beliau bangga dengan cara pasukannya bertahan.
“Mereka amat letih pada separuh masa kedua,” tambahnya.
“Kami bermula separuh masa kedua dengan kelebihan gol namun kemudian kami amat letih dan kemudian, ia hanya memberi tumpuan untuk kekal bertahan. Kami tahu apa yang dipertaruhkan.”
Kepentingan kejuaraan itu kepada kedua-dua kelab dicerminkan apabila pengurus Arsenal, Mikel Arteta, dan Howe menurunkan pemain terbaik mereka.
Arteta membawa Arsenal kembali sebagai pesaing bagi kejuaraan Liga Perdana England (EPL) pada beberapa musim baru-baru ini, tetapi beliau hanya menjulang satu trofi bersama kelab itu lima tahun lalu apabila mereka menjuarai Piala FA pada 2020.
Tetapi kekurangan penyerang baik bagi pihak Arsenal membuktikan perbezaan antara dua kelab itu, dengan The Gunners gagal menggunakan peluang untuk menjaringkan gol.
“Itu adalah perbezaan terbesar dalam perlawanan tersebut. Dalam setiap aspek lain, kami adalah pasukan yang lebih baik.
“Tetapi saya mempunyai kepercayaan penuh. Saya telah melihat pasukan saya bermain menentang mereka. Saya percaya kami boleh melakukannya,” kata Arteta. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg