Topik diikuti
Pergi ke BHkuArteta tamatkan kemarau Arsenal, keluar dari bayangan Guardiola
Arteta tamatkan kemarau Arsenal, keluar dari bayangan Guardiola
Beliau bentuk sistem berdasarkan penguasaan zon, tekanan tinggi, kestabilan pertahanan dan etika pasukan
Arteta tamatkan kemarau Arsenal, keluar dari bayangan Guardiola
LONDON: Mikel Arteta telah menghabiskan seluruh kerjaya kejurulatihannya dalam bayangan Pep Guardiola.
Namun dengan membawa Arsenal meraih Liga Perdana England (EPL) pertama mereka sejak 2004, pengurus itu akhirnya membuktikan bahawa beliau boleh menjadi tandingan hebat kepada tuannya.
Ada yang menyatakan ia telah lama ditunggu-tunggu, ada pula yang akan mencemuh gaya Arsenal, tetapi selepas tiga kali berturut-turut menjadi naib juara, kepercayaan kelab terhadap Arteta telah membuahkan hasil.
Ramai yang telah cuba dan gagal untuk meniru gaya memukau pasukan Guardiola yang telah memenangi 17 trofi utama dalam satu dekad, termasuk enam gelaran EPL.
Arteta memandang dari dekat sepanjang tempoh tiga tahun sebagai pembantu Guardiola di City dan boleh dimaafkan kerana berpegang teguh pada pelan tindakan tuannya Guardiola.
Namun, beliau telah membentuk sistem lebih pragmatik yang dibina berdasarkan penguasaan zon, tekanan tinggi, kestabilan pertahanan dan yang paling penting, etika pasukan yang tidak boleh dirundingkan.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu juga telah menggunakan apa yang dipanggil ‘seni gelap permainan’ untuk mengubah pasukan Arsenal yang pernah diejek sebagai sentuhan lembut menjadi pasukan yang boleh meraih kemenangan membanggakan.
Arsenal telah memecahkan rekod Liga Perdana England (EPL) bagi bilangan gol yang dijaringkan dari sepakan sudut musim ini dengan gol kemenangan Kai Havertz menentang Burnley pada 18 Mei adalah gol ke-18.
Lebih sepertiga gol Arsenal datang daripada keadaan bola mati dan mereka telah menang 1-0 sebanyak lapan kali.
Seorang pakar berkata Arsenal akan menjadi juara EPL yang paling ‘hodoh’. Tetapi Arteta mahupun peminat Arsenal tidak peduli tentang semua komen itu.
“Anda telah melihat Mikel selama beberapa tahun, beliau mempunyai seni gelap, seperti yang kita semua miliki pada masa yang berbeza kerana anda terdesak untuk pastikan pasukan anda menang,” kata pengurus Everton, David Moyes.
“Anda boleh bermain sehebat yang anda suka, tetapi menang adalah perkara yang benar-benar penting,” tambahnya.
Laluan Arteta menuju kejayaan sejak menggantikan Unai Emery pada 2019 jauh daripada lancar.
Beliau memenangi Piala FA pada musim pertamanya sebagai jurulatih tetapi Arsenal menduduki tempat kelapan dalam EPL dan apabila mereka mengulangi kedudukan itu pada musim berikutnya, rentetan 25 tahun Arsenal bermain di Eropah bernokhtah secara tiba-tiba.
Arsenal membuat permulaan terburuk mereka sejak 1954 pada musim 2021 hingga 2022, tewas tiga perlawanan pembukaan tanpa menjaringkan gol dan sekali gus menyebabkan mereka berada di tangga tercorot liga dan Arteta berada di bawah tekanan yang hebat.
Guardiola bangun mempertahankan Arteta dengan berkata: “Beliau seorang pengurus yang lebih daripada sekadar pengurus yang baik. Percayalah kepadanya dan beliau akan melakukan tugas dengan baik.”
Arsenal bangkit tetapi keadaan kembali tegang pada akhir musim itu apabila musuh ketatnya, Tottenham Hotspur, memintas Arsenal ke tempat keempat dan peluang kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Tempoh itu membuktikan titik perubahan bagi Arteta dan hubungannya dengan peminat Arsenal.
Musim berikutnya, Arsenal memenangi 13 daripada 14 perlawanan pembukaan mereka dalam semua pertandingan dan sekali gus merubah suasana di Stadium Emirates berubah. – Reuters.
