Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS buka tirai Piala Dunia dengan menang besar ke atas Paraguay
AS buka tirai Piala Dunia dengan menang besar ke atas Paraguay
Canada cipta sejarah raih mata pertama Piala Dunia
AS buka tirai Piala Dunia dengan menang besar ke atas Paraguay
LOS ANGELES: Amerika Syarikat membuka tirai Piala Dunia di laman sendiri dengan penuh semangat pada 12 Jun (13 Jun waktu Singapura), membelasah Paraguay 4-1 dengan persembahan pembukaan yang bertenaga dan berjaya memukau serta menghiburkan ribuan penonton, termasuk barisan bintang terkemuka yang membanjiri stadium di Los Angeles itu.
Folarin Balogun menjaringkan dua gol manakala tekanan berterusan pasukan Amerika membawa kepada gol sendiri oleh pemain Paraguay, Damian Bobadilla, sebelum pemain gantian Gio Reyna menambah gol keempat untuk melengkapkan permulaan impian bagi pasukan jurulatih Mauricio Pochettino.
Amerika memasuki medan Piala Dunia kali ini dalam suasana penuh ketidakpastian menyusuli siri kekalahan serta aksi hambar yang dipamerkan oleh pasukan tersebut dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum kempen bermula.
Namun sebarang keraguan tentang keupayaan mereka untuk mara melepasi pusingan pertama luput menerusi persembahan separuh masa pertama yang mempamerkan aksi bertenaga dan menyaksikan mereka mendahului 3-0 untuk hampir memastikan kemenangan dalam 45 minit pembukaan.
Kapten Amerika, Tim Ream berkata:
“Keputusan yang menakjubkan.
“Sudah tentu, ia adalah cara kami ingin memulakan kejohanan ini. Tidak banyak kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan ini.
“Kami mahu memulakan kejohanan ini dengan baik, menjaringkan empat gol, mendapat tiga mata, ia pasti akan mempersiap kami bagi baki peringkat kumpulan.”
Bintang pop, Katy Perry, memulakan pesta dengan persembahan penuh gah sebelum perlawanan bermula.
Bintang Hollywood termasuk Tom Cruise, Leonardo DiCaprio, dan Halle Berry, adalah antara 70,492 penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut.
Pasukan Amerika bangkit dengan persembahan penuh bertenaga dan mencetuskan impian untuk pergi jauh dalam kejohanan Piala Dunia 2026 dengan perlawanan kumpulan menentang Australia dan Turkey bakal menjelang.
Gelombang demi gelombang tekanan Amerika membawa kepada gol pembukaan oleh Bobadilla selepas hanya tujuh minit sebelum Balogun – yang membesar di London dan mewakili pasukan belia England sebelum berikrar setia kepada Amerika – menjaringkan dua golnya.
Satu-satunya kecacatan pada prestasi Amerika ialah gol Paraguay oleh Mauricio pada minit ke-73 selepas tuan rumah menunjukkan pertahanan yang teragak-agak.
Jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro berkata:
“Kami tahu ia sukar dan jika kami tidak bersedia dari segi pertahanan, ia mungkin menyakitkan.
“Terbukti mereka mendominasi secara taktikal, teknikal dan fizikal.”
Dalam satu lagi perlawanan pada 12 Jun, Canada memperoleh mata pertama dalam sejarah Piala Dunia apabila Cyle Larin menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua di Toronto untuk menjadikan keputusan 1-1 selepas Bosnia-Herzegovina mendahului dengan tandukan jarak dekat daripada Jovo Lukic.
“Ia istimewa bagi saya. Saya sudah bersedia untuk datang dan membantu pasukan.
“Saya percaya jaringan gol akan terhasil. Saya menjaringkan gol apabila Canada memerlukan saya, dan perkara itu sentiasa saya lakukan selama ini,” kata Larin.
Bintang filem, Canada Ryan Reynolds dan Mike Myers turut berada dalam kalangan penonton untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia pertama di bumi Canada.
Juara dunia lima kali, Brazil, akan melancarkan usaha mereka bagi gelaran juara keenam dengan perlawanan menentang Maghribi di East Rutherford dalam Kumpulan C (perlawanan bermula 6 pagi, 14 Jun waktu Singapura) manakala Scotland kembali ke medan Piala Dunia menentang Haiti (perlawanan bermula 9 pagi, 14 Jun waktu Singapura).
Australia akan menentang Turkey di Vancouver (perlawanan bermula 12 tengah hari, 14 Jun waktu Singapura) manakala Qatar menentang Switzerland (perlawanan bermula 3 pagi, 14 Jun waktu Singapura) di Santa Clara, California. – AFP.
Keputusan Pertandingan:
Amerika Syarikat 4 - Paraguay 1
Canada 1 - Bosnia-Herzegovina 1
