Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS gantung visa warga 75 negara untuk elak salah guna bantuan awam

Jan 15, 2026 | 2:13 PM
Jabatan Negara Amerika Syarikat mengumumkan  bahawa ia akan menggantung pemprosesan visa imigran daripada 75 negara mulai 21 Januari 2026.
Jabatan Negara Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia akan menggantung pemprosesan visa imigran daripada 75 negara mulai 21 Januari 2026. - Foto Fail

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata pada 14 Januari bahawa ia akan menggantung pemprosesan visa imigran daripada 75 negara, termasuk Afghanistan, Iran, Russia dan Somalia, yang menurut Presiden Donald Trump mungkin memerlukan bantuan awam ketika tinggal di Amerika.

Jabatan Negara, yang diketuai oleh Setiausaha Negara Encik Marco Rubio, berkata ia telah mengarahkan pegawai konsular untuk menghentikan permohonan visa imigran dari negara-negara yang terjejas.

Ini selaras dengan perintah yang dikeluarkan pada November bagi mengetatkan peraturan mengenai bakal pendatang yang mungkin menjadi beban di Amerika.

Langkah tersebut diambil susulan larangan imigresen dan perjalanan sebelum ini ke atas warga daripada hampir 40 negara dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Encik Trump untuk mengetatkan piawaian kemasukan warga asing.

“Pentadbiran Trump sedang menamatkan penyalahgunaan sistem imigresen Amerika oleh mereka yang ingin mengaut kekayaan daripada rakyat Amerika,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

“Pemprosesan visa imigran dari 75 negara ini akan dihentikan sementara sedang Jabatan Negara menilai semula prosedur pemprosesan imigresen untuk menghalang kemasukan warga asing yang akan menerima faedah kebajikan dan awam,” tambah jabatan itu.

Penggantungan itu, yang akan bermula 21 Januari, tidak akan terpakai kepada pemohon yang ingin mendapatkan visa bukan imigran, atau visa pelancong atau perniagaan sementara, yang membentuk sebahagian besar pemohon visa.

Permintaan untuk visa bukan imigran dijangka meningkat secara mendadak dalam beberapa bulan dan tahun akan datang disebabkan oleh Piala Dunia 2026 dan Sukan Olimpik 2028.

Amerika akan menjadi tuan rumah atau menganjurkan secara bersama kedua-dua acara sukan itu.

Notis berasingan yang dihantar pada 12 Januari kepada semua kedutaan dan konsulat Amerika menyatakan bahawa pemohon visa bukan imigran harus diperiksa untuk kemungkinan mereka memanfaatkan faedah awam di Amerika.

“Dengan pendedahan penipuan faedah awam besar-besaran di seluruh Amerika, pentadbiran Trump akan bertindak bagi mencegah penipuan dalam program faedah awam,” kata notis yang merujuk secara khusus kepada permohonan visa bukan imigran..

Notis itu juga menggesa pegawai konsular supaya juga memastikan warga asing yang ingin melancong ke Amerika “telah diperiksa dan ditapis sepenuhnya” sebelum mereka mengeluarkan visa.

Pemohon perlu membuktikan bahawa mereka tidak akan memohon faedah awam semasa berada di Amerika dan bagi kes yang meragukan, mereka diperlukan mengisi borang bagi membuktikan ketulenan keadaan kewangan mereka. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg