Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aston Villa akui rugi besar dalam akaun akhir tahun

Mar 5, 2024 | 12:49 PM
Bendera Aston Villa dikibarkan sebelum perlawanan menentang Fulham.
Bendera Aston Villa dikibarkan sebelum perlawanan menentang Fulham. - Foto REUTERS

Aston Villa mengesahkan kerugian £119.6 juta ($203.3 juta) dalam akaun akhir tahun mereka pada 4 Mac, dalam musim yang menyaksikan mereka kembali ke arena bola sepak Eropah selepas lebih sedekad.

Kerugian itu menimbulkan kebimbangan mengenai strategi perpindahan masa depan Villa di tengah-tengah keperluan mengelak daripada melanggar peraturan kewangan liga yang diperketat.

Peraturan Keuntungan dan Kemampanan (PSR) membenarkan pasukan kehilangan maksimum £105 juta dalam tempoh tiga tahun, walaupun pelaburan dalam prasarana, akademi, yayasan amal dan bola sepak wanita, boleh ditolak supaya pasukan masih mematuhi peraturan PSR.

“Angka-angka ini selaras dengan pelan perniagaan strategik, dan kami terus beroperasi mengikut Peraturan Keuntungan dan Kemampanan Liga Perdana,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Pemilik Aston Villa kekal komited terhadap pembangunan jangka panjang dan kemampanan kelab, dan kami berharap kemajuan berterusan dalam melaksanakan pelan strategik kami.”

Aston Villa, yang kini memburu tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan, berada di tangga keempat Liga Perdana.

Villa melaporkan peningkatan pendapatan sebanyak £217.7 juta – meningkat daripada £178.4 juta pada tahun sebelumnya.

Pengiraan PSR juga membolehkan pasukan memotong sebarang kerugian akibat kos Covid-19 sepanjang dua musim yang terjejas oleh wabak itu.

Everton dikenakan potongan 10 mata pada November kerana melanggar PSR Liga Perdana.

Penalti dikurangkan kepada enam mata minggu lalu, menyusuli satu rayuan.

Everton berdepan satu lagi pengurangan mata yang berpotensi selepas didakwa atas perlanggaran berasingan peraturan kewangan liga pada Januari, bersama Nottingham Forest.

Manchester City menghadapi pertuduhan lebih 100 dakwaan pelanggaran peraturan kewangan.

Villa akan beraksi pada 7 Mac di Ajax dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Europa, dan kemudian menjadi tuan rumah kepada Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana, pada 10 Mac.

Mereka berada lima mata di hadapan Spurs yang berada di tangga kelima dan mempunyai satu perlawanan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg