Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

Emery pengurus ‘azimat’ bangkitkan Aston Villa

Villa kian mengancam, kemenangan ke atas juara Man City tunjuk kehebatan, mampu bersaing ke Liga Juara-Juara
Dec 11, 2023 | 05:30 AM



Beberapa saat sebelum wisel penamat ditiup pengadil di Villa Park pada 7 Disember, stadium penuh sejarah itu bergegar dengan sorakan dan hentakan kaki penonton.

Bunyi itu sekali gus menggerunkan dan mengghairahkan.

Bagi ramai penyokong Aston Villa di sana, ia lambang kebangkitan pasukan kesayangan mereka di bawah kepimpinan Unai Emery.

Sejak mengambil alih kepimpinan kelab itu daripada Steven Gerrard pada Oktober 2022, Emery kekal tenang walaupun beberapa kegenjotan awal mengundang kritikan yang disasarkan kepadanya.

Namun minggu lalu, beliau menghulurkan hadiah yang tidak diduga oleh penyokong setia.

Villa menewaskan juara bertahan Liga Perdana England (EPL) Manchester City, 1-0.

Namun jaringan mutakhir itu tidak mencerminkan bagaimana Villa menguasai perlawanan dan membuli City sehingga anak didik Pep Guardiola kadangkala kelihatan seperti pemain dari divisyen jauh lebih rendah dan bukan pemain bertaraf bintang yang menerima gaji ratusan ribu dolar seminggu. 

Ini adalah kali pertama dalam 14 percubaan pasukan yang dipimpin Emery berjaya menewaskan pasukan milik Guardiola.

Beliau dibantu oleh Leon Bailey, yang merembat bola kemas ke arah gawang City pada minit ke-76.

Ia mengena Ruben Dias sebelum memperdaya Ederson.

Mungkin, tuah memainkan peranan, tetapi Villa tidak menang nasib. 

Aston Villa musim ini sukar ditewaskan dan dalam tempoh menjelang pertengahan musim ini, boleh dianggap sebagai antara calon utama bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah – atau mendapat sekurang-kurangnya tempat keempat di akhir musim.

Buat masa ini, tanpa mengambil kira perlawanan dengan Arsenal pada dinihari 11 Disember, Villa berada dalam kedudukan empat teratas dalam liga dan sedang mendahului City dalam liga.

Kedudukan itu jauh berbeza berbanding semasa Emery menyertai Villa di pertengahan musim lalu.

Pada ketika itu, Villa menduduki tangga ke-14, hanya tiga mata di atas kedudukan yang menyingkir mereka ke divisyen lebih rendah.

Sejak itu, Emery telah memimpin Villa kembali bersaing di Eropah dan musim ini, Villa telah menunjukkan peningkatan yang menarik perhatian.

Dan kemenangan ke atas City itu mencerminkan kebangkitan ini. 

Ia adalah kemenangan pertama yang dikecapi Villa ke atas City sejak September 2013.

Ia juga adalah kemenangan yang ke-14 berturut-turut di tempat sendiri, yang menandingi pencapaian terbaik kelab itu pada 1903 dan 1931. 

Ia juga bermakna Villa telah memulakan liga dengan form terbaik sejak musim 1980-81, apabila ia memenangi kejuaraan liga.

Mantan pemain antarabangsa Scotland, Pat Nevin, yang membuat ulasan perlawanan dengan City itu berkata:

“Sesungguhnya saya bersalah kerana mengecam Villa selepas ia dibelasah 1-5 oleh Newcastle dalam perlawanan pembuka tirai musim ini. 

“Di bawah asuhan Emery, Villa kini, ia beraksi sebagai satu unit yang utuh dan benar-benar menjiwai bola sepak sebagai sukan berpasukan.

“Berbekal keyakinan diri yang kuat, pemain Villa tidak menunjukkan sebarang rasa takut apabila berdepan dengan City, antara pasukan bola sepak terbaik saban tahun,” kata Nevin. 

“Ini adalah pasukan yang begitu handal dan ia dibentuk oleh Emery.

“Bagi saya, mereka antara pesaing utama untuk mengakhiri musim di kedudukan empat tangga teratas.

“Ada yang beranggapan mereka tidak dapat mengekalkan prestasi sepanjang musim, tetapi saya lebih yakin,” katanya.

City jarang dipermain-mainkan dalam sebarang perlawanan, tetapi Villa berjaya menunjukkan kesederhanaan City.

Malah, penyerang azimat, Erling Haaland, hanya membuat dua percubaan sepanjang perlawanan – yang diselamatkan penjaga gawang Villa, Emiliano Martinez.

Selain saat bahaya itu, perlawanan hanya bergerak dalam satu arah dan berpihak kepada Villa.

Wisel penamat disambut girang oleh penyokong Villa, yang mula melaungkan nama Emery pada minit ke-85.

Emery pula hanya mampu tersenyum lebar, menjabat tangan penyokong Villa yang turun ke padang untuk melontar kata-kata pujian ke arahnya.

Reputasi Emery sebagai pengurus yang berkebolehan terjejas selepas beliau mengambil alih Arsenal daripada Arsene Wenger, walaupun beliau berjaya memimpin kelab itu ke tangga kelima EPL dan membawa mereka ke final Liga Europa pada satu-satunya musim beliau di sana.

Namun rekod Emery di pasukan lain lebih baik dan menunjukkan beliau pengurus berkaliber tinggi.

Beliau telah memenangi Liga Europa empat kali – tiga kali bersama Sevilla – dan sekali bersama Villareal.

Beberapa pengamat berkata beliau mungkin akan memenangi Liga Persidangan Europa bersama Villa musim ini.

Apa pun, Emery telah menyemarakkan semula Villa Park dan telah membina semula kelab yang lebih kerap kecundang daripada meraih kemenangan sebelum ini.

Buat masa ini, Villa kelihatan umpama kelab yang meniti tangga jaya.

Mungkin, masih terlalu awal untuk menyifatkan Emery dan Villa sebagai pesaing untuk kejuaraan liga.

Namun terdapat bukti kini mereka boleh menjadi pesaing berwibawa sekurang-kurangnya bagi tangga keempat liga dan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah bagi musim depan.

Lembaga pengarah Villa juga sedar Emery ialah pengurus bagi masa depan.

Mereka telah mendapatkan khidmat Monchi, iaitu presiden operasi bola sepak kelab itu dan bersama pemilik Villa yang amat berdaya saing, Nassef Sawiris dan Wes Edens, Villa mempunyai pucuk kepimpinan berwawasan dan bertekad untuk berjaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >