DUBLIN: Nama Ademola Lookman akan tercatat dalam sejarah Atalanta dengan jaringan hat-tricknya semasa perlawanan peringkat akhir Liga Europa.
Pemain sayap asal Nigeria itu merupakan pemain keenam menjaringkan hat-trick dalam perlawanan peringkat akhir Eropah – yang pertama sejak Jupp Heynckes lakukannya bagi Borrussia Monchengladbach di Piala Uefa pada 1975.
Pencapaian ini lebih mengagumkan kerana beliau melakukannya ke atas Bayer Leverkusen, pasukan bimbingan Xabi Alonso yang tidak kalah satu perlawanan pun dalam tempoh 361 hari.
Bagi Lookman, 26 tahun, beliau tidak pernah mencecah lebih daripada sembilan gol dalam satu musim semasa di Charlton, Everton, RB Leipzig, Fulham dan Leicester.
Namun kini, beliau menjaringkan 15 gol dalam dua musim berturut-turut untuk Atalanta.
Mungkin ia boleh hadir lebih awal, tetapi ia hanya tiba hari ini,” kata Lookman, yang keluar masuk di England bersama Everton, Fulham dan Leicester City dan di Jerman bersama RB Leipzig sebelum berpindah ke Atalanta dua musim lalu.
“Ini hanya satu permulaan. Saya berharap lebih banyak lagi malam sebegini dan untuk menjadi bagus dan lebih bagus,” katanya pada sidang akhbar.
Pengurus Atalanta, Gian Piero Gasperini pula berkata:
“Tidak ada sesiapa yang boleh menjangka peningkatan beliau... saya mengubah posisinya untuk fokus lebih kepada menyerang.”
Lookman, yang beraksi di peringkat remaja bersama England, memuji staf kejurulatihan Atalanta serta kepimpinan pengurus Gian Piero Gasperini yang banyak membantu kebangkitannya.
“Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, kelab dan pengurus telah menyokong saya dari segi memberi saya masa bermain... ia telah membantu saya mempertingkatkan permainan ke tahap baru,” jelas Lookman.
“Dalam beberapa perbualan pertama kami, beliau membuat saya melihat bola sepak dari perspektif lain. Ia memudahkan saya dari segi apa yang beliau jangka dari saya,”
“Ia membuat saya melihat, dan bermain, permainan saya dalam cara yang berbeza. Saya sangat berterima kasih kepadanya,” tambah beliau.
Mentor Lookman dan bekas pengurus pasukan belia Waterloo, Felix Emanus, juga memberi ulasan kepada pihak media selepas perlawanan itu.
“Saya menangis apabila gol ketiga dijaringkan. Saya sungguh gembira untuk Ade. Beliau bekerja keras secara senyap. Kadangkala beliau disalah faham kerana senyap tetapi beliau seorang yang hebat. Beliau ingin belajar dan selalu ingin mempertingkatkan prestasi dan capai tahap tertinggi,” kata beliau.
Walaupun ia mungkin diingati sebagai malam detik terbaik Lookman, kejayaan Atalanta juga sama luar biasa.
Dalam sejarah 116 tahun mereka, ini merupakan piala kedua mereka selepas merangkul Piala Coppa Italia pada 1963.
Dan hanya minggu lalu mereka kalah 1-0 di peringkat akhir Coppa Italia kepada Juventus pada 16 Mei.
Untuk memenangi Liga Europa merupakan cara terbaik untuk mereka bangkit semula.
Pasukan bimbingan Gasperini itu juga merupakan pasukan Italy pertama memenangi pertandingan tersebut sejak 1999.
“Saya amat bangga bagi keseluruhan negara Italy kerana ini merupakan pertandingan yang malang bagi pasukan Italy,” kata pengurus berusia 66 tahun itu yang menjadi pengurus Atalanta sejak 2016.
“Menang pertandingan ini bersama Atalanta merupakan satu cerita dongeng bola sepak yang jarang berlaku,” kata beliau.
“Ia memberi harapan kepada meritokrasi (sistem dengan pasukan mencapai kejayaan melalui kebolehan mereka, bukan kerana wang). Ia tidak terhad kepada pasukan Liga Super. Anda boleh menunjukkan kepercayaan kepada pasukan lain tanpa bil dan belanjawan yang besar,” tambah beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg