Pemain boccia belia nasional, Aloysius Gan, gembira mengikuti setiap perkembangan atlet boccia senior, Jeralyn Tan, dalam pertandingan sukan itu sehinggalah pada ketika Tan melakar sejarah di Paralimpik Paris pada minggu ini.
Apabila Tan akhirnya memenangi pingat perak dalam temasya Paralimpik 2024 untuk Singapura pada 2 September, Gan cukup gembira dan meraih banyak inspirasi serta dorongan daripada kejayaan Tan.
Pemain berusia 18 tahun itu adalah antara sekitar 60 penyokong yang hadir dalam satu acara anjuran Majlis Sukan bagi Orang Cacat Singapura (SDSC) di Hab Sukan Singapura untuk menyaksikan Tan dalam pertarungan akhir acara BC1 individu wanita pada petang itu.
Berbekalkan pengetap (clapper) dan bendera, kumpulan penyokong itu memberi sokongan kepada Tan ketika beliau bermain menentang pemain pilihan tuan rumah, Aurelie Aubert.
Gan turut menjerit setiap kali Tan meraih mata.
Walaupun Tan akhirnya tewas 4-5 kepada atlet wanita Perancis, Gan berbangga dengan Tan yang menjadi warga Singapura pertama memenangi pingat boccia Paralimpik.
“Jeralyn telah beraksi dengan sangat baik, mencipta sejarah dengan mara ke final. Walaupun beliau tewas hari ini, beliau benar-benar memberi inspirasi kepada kami.
“Saya berharap dengan kemenangan pingat perak beliau, ia akan menjadi inspirasi kepada ramai bahawa, jika anda bekerja keras, anda boleh mencapai impian anda suatu hari nanti,” ujar Gan, lapor The Straits Times.
Turut hadir sebagai penyokong Tan ialah Ling Ng, yang pernah menjadi sukarelawan di Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) pada 2012.
Ng, 34 tahun, yang bekerja sebagai akauntan, mengambil cuti untuk menunjukkan sokongannya kepada Tan.
“Saya pernah menjadi sukarelawan dengan SNPC, jadi saya tahu bahawa ia (kumpulan penyokong) sedang diadakan.
“Saya memutuskan untuk datang dan menyokong,” ujar Ng.
Walaupun notis singkat diberikan untuk mengadakan kumpulan penyokong itu – diputuskan selepas kemenangan separuh akhir Tan pada 1 September dan diumumkan keesokan paginya – Ng berkata bilangan penyokong yang hadir tetap ramai, walaupun ramai yang masih tidak memahami permainan boccia.
Kebanyakan penyokong itu adalah daripada masyarakat sukan.
Seorang lagi penyokong, Grainne Ang, 25 tahun, yang bekerja sebagai pakar sukan bersekutu di Institut Sukan Singapura (SSI), berkata beliau mendengar mengenai kumpulan penyokong itu daripada satu pengumuman perkhidmatan awam pada waktu pagi.
“Memang menarik untuk menyokong Singapura dan melihat atlet kita menang pingat. Sukan para masih merupakan satu sukan dan kita perlu menyokong atlet Singapura kita,” ujar Ang.
Beliau mengakui kurang memahami sukan boccia sebelum Paralimpik 2024, namun mendapat gambaran lebih jelas mengenainya selepas mengikuti kempen sokongan kepada Tan.
Pengarah eksekutif SDSC, Kelly Fan, berkata: “Ia adalah satu keputusan sukar sama ada untuk menganjurkan kumpulan penyokong ini selepas perlawanan separuh akhir yang mendebarkan.
“Dari satu sudut, ia adalah perlawanan bersejarah untuk Singapura, namun dari sudut lain, kami hanya ada sedikit masa untuk menganjurkannya.
“Tetapi memandangkan ahli daripada masyarakat kita ingin sekali mengadakannya, kami melakukan yang terbaik dan menjemput atlet dan penyokong kami untuk menyertai kami,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg