Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet boling negara sasar wakili negara dalam Sukan SEA

Nu’man Syahmi Yusri antara tujuh penerima baru spexScholarship bagi kohort 2025
Apr 28, 2025 | 5:30 AM
Nu’man Syahmi Yusri, spex, bowling
Atlet boling negara, Nu’man Syahmi Yusri, mula bermain boling bersama keluarga pada usia muda, hanya sebagai satu kegiatan riadah. Namun kini, penerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan (spexScholarship), mewakili Singapura dalam pelbagai pertandingan antarabangsa. - Foto ASIAN BOWLING FEDERATION

Bermula sebagai kegiatan riadah hujung minggu bersama keluarga, boling kini menjadi bahagian penting dalam kehidupan harian atlet boling negara, Nu’man Syahmi Yusri.

Beliau mula mempamerkan bakatnya dalam boling semasa menyertai pertandingan pertamanya pada 2008, dan berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori individu.

Kini, atlet boling berusia 25 tahun itu mewakili Singapura dalam pelbagai pertandingan antarabangsa.

Antara pencapaian beliau termasuk tempat kedua di Brunswick Euro Challenge 2024; tempat ketiga di Macau China International Open 2024; dan tempat keempat di 2023 Singapore Nationals Championships.

Pencapaian itu telah membolehkan beliau dianugerahkan sebagai penerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan (spexScholarship).

spexScholarship merupakan program kendalian Majlis Sukan Singapura (SportSG) untuk memberi sokongan kewangan dan program kepada atlet dalam laluan Sukan Prestasi Tinggi (HPS), dengan matlamat membantu mereka mencapai kecemerlangan di peringkat Asia dan dunia.

“Saya akui ia sesuatu yang tidak dijangka kerana terdapat ramai pemain boling yang lebih hebat daripada saya yang mempunyai lebih banyak pencapaian.

“Saya tidak terfikir saya cukup baik untuk menjadikan boling sebagai kerjaya sepenuh masa,” kata beliau dengan rendah hati.

Mengenang pengalamannya mewakili Singapura dalam ‘Piala Dunia IBF 2022’, beliau berkata: “Pertandingan itu begitu bermakna bagi saya kerana buat pertama kali saya dipilih mewakili Singapura dalam salah satu pertandingan terbesar bagi sukan boling.”

Pencapaian beliau dalam pertandingan tersebut juga sangat membanggakan apabila beliau berjaya melangkah dan menjadi antara lapan pemain terbaik dalam acara individu.

Ia sekali gus memberi beliau lebih keyakinan untuk terus berusaha.

Namun, ketika itu, hasil keputusan bukan perkara utama baginya.

Pengalaman itu lebih dianggap sebagai batu loncatan untuk beliau mula bersaing dalam pertandingan utama seperti Sukan SEA, Sukan Asia, dan Kejohanan Asia.

Mewakili Singapura dalam pelbagai pertandingan besar mendatangkan banyak tekanan.

Nu’man mempunyai cara tersendiri untuk menangani tekanan yang timbul semasa pertandingan.

“Salah satu cara saya adalah dengan cuba mengenal pasti punca tekanan pada ketika itu.

“Setelah itu, saya akan kembali kepada rutin harian saya dan alihkan fokus kepada perkara yang biasa saya lakukan semasa latihan.

“Jika saya tidak dapat mengenal pasti punca tekanan, saya akan berjumpa dengan pakar psikologi untuk mendapatkan bantuan dalam menghadapinya,” jelas beliau.

Nu’man turut berkongsi tentang cabaran dalam mengekalkan prestasi yang baik sepanjang masa, terutama apabila berhadapan dengan keletihan fizikal dan mental.

Menurut beliau, hal itu memerlukan disiplin yang tinggi.

“Salah satu cabaran terbesar adalah keinginan mengatasi sikap sambil lewa.

“Contohnya, secara mental dan fizikal, kita perlu kekal teguh dan teruskan latihan, walaupun pada hari yang meletihkan dan apabila kita tidak mahu melakukannya,” ujarnya.

Namun, beliau tidak mudah berputus asa.

Sebaliknya, Nu’man mencari cara memastikan setiap latihan memberi manfaat walaupun dalam keadaan yang sukar.

“Secara tidak langsung, ini juga dapat mempertingkatkan daya tahan saya semasa bertanding.

“Cara saya mengatasinya adalah dengan memberi tumpuan kepada aspek-aspek kecil dalam latihan saya.

“Dengan cara ini, dalam apa pun keadaan, setiap latihan itu tidak akan sia-sia dan saya dapat mengasah kemahiran saya,” tambah Nu’man.

Keluarga merupakan sumber motivasi utama bagi dirinya dalam perjalanan sukan.

“Sumber motivasi saya adalah keluarga. Banyak pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk saya. Oleh itu saya hanya ingin cuba membalas jasa mereka dengan cara yang saya mampu,” katanya.

Dengan sokongan keluarga yang sentiasa di sisinya serta tidak mengira keputusan yang dicapai, ia sekali gus meringankan tekanan beliau dalam memilih sukan itu sebagai kerjaya.

Nu’man juga menyatakan bahawa pencapaiannya sepanjang 2025 adalah bukti usahanya yang mula dikenali dan dihargai.

Kini beliau bertekad untuk terus memberikan persembahan terbaik dan berusaha dipilih mewakili Singapura di Sukan SEA pada akhir 2025.

“Saya rasa besar hati atas pencapaian ini kerana ia hanya menunjukkan bahawa hasil kerja keras saya selama ini dibalas.

“Pada tahun ini (2025) saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan terbaik yang konsisten sepanjang tahun dan berharap dipilih sebagai anggota yang akan bertanding di Sukan SEA di Thailand pada akhir tahun.”

Bagi Nu’man, sebagai penerima biasiswa, ia adalah langkah penting dalam perjalanan beliau.

Beliau berharap program itu akan membantunya mencapai impian lebih besar, termasuk menjadi juara Piala Dunia suatu hari nanti.

“Pada tahun ini (2025) saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan terbaik yang konsisten sepanjang tahun dan berharap dipilih sebagai anggota yang akan bertanding di Sukan SEA di Thailand pada akhir tahun.”
Nu’man Syahmi Yusri, atlet boling negara.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg