Semasa berumur lima tahun, Jovi Loh, cenderung bermain panjat-panjat di taman permainan berdekatan rumahnya di Bukit Batok.
Ini membuat datuknya memasukkannya ke kelas gimnastik riadah.
Tiga tahun kemudian, pada 2016, Park Gi-young, seorang jurulatih dari Korea Selatan di BazGym, sebuah kelab gimnastik di Singapura, mengambil Jovi sebagai muridnya.
Pada 19 Mei, atlet gimnastik berumur 16 tahun itu mendaki lebih tinggi dengan memenangi pingat gangsa dalam acara palang selari di Kejohanan Gimnastik Artistik Asia Remaja Lelaki di Tashkent, Uzbekistan.
Jovi meraih 13.366 mata, di belakang dua atlet China, Yang Lanbin (13.933) dan Zheng Ao (13.633).
Ini kali pertama atlet gimnastik Singapura memenangi pingat gimnastik artistik pada peringkat remaja Asia.
“Sudah tentu saya sangat gembira dan bangga memenangi gangsa, dan yang lebih penting, saya tahu kedudukan saya berbanding atlet gimnastik dari negara-negara teratas seperti Jepun dan China.
“Perasaan ini akan mendorong saya meningkatkan lagi diri saya.
“Yang lebih istimewa bagi saya adalah kejayaan lebih tinggi yang saya telah capai ini. Ia akan mendorong saya untuk terus maju kerana saya telah membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya berupaya naik ke podium,” katanya lapor, The Straits Times.
Jovi kini berazam memenangi gelaran dalam pertandingan utama, termasuk acara keseluruhan, yang menyaksikan dia meraih tempat ke-12 pada peringkat akhir di Tashkent.
Pertandingan utama seterusnya adalah Kejohanan Remaja Dunia pada 2025, dan dia menyasarkan memenangi pingat emas pada acara palang selari.
“Pada jangka panjang, matlamat paling besar adalah mendapat pingat emas di Olimpik dan kejohanan dunia, bertanding dengan yang terbaik,” ujarnya.
Park, yang kini pelatih nasional Singapura, “amat bangga dan sangat gembira” dengan pencapaian anak didiknya itu.
“Dia mengharungi banyak kecederaan semasa persiapan untuk pertandingan ini, namun dia bertahan dan mengikuti pelan latihan yang mencabar.
“Saya berterima kasih kepadanya atas dedikasinya,” kata Park.
“Walaupun dia belum mencapai potensi penuhnya, sekarang dia mempunyai keupayaan untuk bersaing pada peringkat dunia,” tambah Park.
Jovi menyertai pusat latihan nasional pada 2018, dan telah menunjukkan kemajuan mantap.
Walaupun latihan itu mencabar, dia berkata: “Berhenti daripada sukan ini tidak pernah menjadi satu pilihan bagi saya.”
Pelajar Sekolah Sukan Singapura itu bertanding di pertandingan antarabangsa pertamanya di Kejohanan Remaja Dunia pada Mac 2023, menduduki tempat ke-14 pada pusingan kelayakan acara palang selari.
Dia menduduki tempat kelima dalam acara yang sama di kejohanan junior Asia tiga bulan kemudian.
Di Tashkent, Jovi menduduki tempat kelima pada pusingan kelayakan, tetapi itu memberinya motivasi untuk mengemaskan rutinnya pada peringkat akhir.
“Saya memberitahu diri saya bahawa pertandingan ini akan menjadi pertandingan yang saya akan menang pingat dalam acara palang selari, dan saya ingat matlamat itu setiap hari.
“Sekarang, setelah mencapai matlamat saya, ia adalah sesuatu yang akan saya ingat selama-lamanya,” katanya.
Park percaya Jovi akan terus menjadi lebih baik.
“Kemajuannya sangat luar biasa, dan saya yakin dia boleh mencapai perkara yang hebat,” ujar jurulatih itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg