Topik diikuti
Pergi ke BHkuAtlet ‘hilang’ selepas Sukan Komanwel tamat
4 petinju Uganda, seorang lagi dari Pakistan tidak sertai rakan sepasukan pulang ke tanah air
LONDON: Beberapa atlet dilaporkan ‘hilang’ selepas beraksi di Sukan Komanwel di Glasgow.
Mereka gagal pulang bersama pasukan masing-masing.
Polis Scotland berkata pihaknya menerima laporan tentang beberapa atlet yang “tidak dapat dikesan” selepas tamatnya temasya itu pada 3 Ogos (waktu tempatan).
Laman web sukan NBS Sport melaporkan empat anggota pasukan tinju Uganda tidak muncul untuk pulang.
Seorang anggota pasukan itu dilaporkan berkata atlet berkenaan berhasrat memohon suaka di Scotland.
Akhbar Pakistan Today turut melaporkan bahawa petinjunya, Qudratullah, tidak menyertai rakan sepasukannya untuk terbang pulang ke Pakistan, dan beliau tidak ditemui di biliknya apabila pegawai mencarinya.
Berikutan edisi Sukan Komanwel sebelum ini — termasuk edisi 2014 yang turut diadakan di Glasgow — berpuluh atlet pernah hilang selepas sukan tersebut tamat, sama ada memohon suaka atau hilang tanpa dapat dikesan.
Jurucakap polis Scotland berkata: “Polis Scotland menerima laporan tentang beberapa atlet yang tidak dapat dikesan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk menilai keadaan sebenar, dan perbincangan awal sedang diadakan bersama Home Office (jabatan yang mengendalikan imigresen, visa dan keselamatan awam).”
Empat petinju Uganda yang hilang itu dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Nuhu Batte, Angel Katushabe, Ibrahim Kemis dan Emily Nakalema.
NBS Sports berkata pihaknya telah bercakap dengan salah seorang daripada empat petinju yang hilang itu, dan beliau meluahkan hasrat untuk memohon suaka dan meneruskan kerjaya tinju di sebuah negara yang dipercayai dapat menawarkan kemudahan latihan, serta peluang yang lebih baik berbanding di Uganda.
Petinju itu dilaporkan telah merayu kepada rakyat Uganda supaya memahami keputusan tersebut dan tidak menghukum mereka atas keputusan itu.
Seorang jurucakap pasukan Uganda di temasya itu memberitahu BBC Scotland News bahawa pasukannya tiada sebarang komen untuk diberikan.
Selebihnya pasukan Uganda telah pun berlepas pulang ke tanah air mereka.
Mengikut dasar Glasgow 2026, atlet perlu meninggalkan tapak sukan dalam tempoh masa dua malam selepas sukan mereka tamat.
Jurucakap Glasgow 2026, Sophie Ashcroft, berkata: “Sepanjang dua minggu lepas, kami telah menyambut 3,000 atlet daripada 74 negara dan wilayah Komanwel ke Glasgow.
“Sementara atlet dan kakitangan sokongan meninggalkan bandar ini, kami terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi lain, termasuk polis Scotland, pasukan sempadan dan Visa dan Imigresen UK, untuk memastikan sukan berakhir dengan selamat dan lancar.”
Pada 2014, dua pemain ragbi Uganda hilang selepas pertandingan tamat dan kemudian ditemui bermain ragbi di Cardiff untuk sebuah pasukan kecil.
Salah seorang pemain itu, Philip Pariyo, kemudiannya dipenjarakan selama empat tahun setengah selepas merogol seorang wanita di Cardiff.
Seorang lagi atlet, jaguh angkat berat Cameroon, Cyrille Tchatchet II, turut hilang selepas edisi Sukan Komanwel 2014
Semasa temasya itu, beliau menduduki tempat kelima, namun pada 2026 beliau meraih pingat perak.
Home Office difahamkan menjalankan pemeriksaan lebih ketat terhadap individu sebelum acara sukan besar seperti Sukan Komanwel, sambil bekerjasama dengan penaja acara untuk mengukuhkan kawalan terhadap siapa yang dibenarkan masuk ke Britain bagi acara sebegini.
Sebarang permohonan suaka pada masa hadapan akan dinilai berdasarkan merit individu masing-masing, dengan permohonan dinilai berdasarkan fakta kes serta bukti yang ada. – Agensi berita.
