TOKYO: Kejohanan Olahraga Dunia sekali lagi menjadi pentas milik Armand ‘Mondo’ Duplantis pada 15 September, apabila atlet Sweden itu berjaya mencatat rekod dunia baru setinggi 6.30 meter untuk mengekalkan gelaran juara dunia di Tokyo.
Aksi dramatik Duplantis, 25 tahun, berterusan hingga ke saat akhir di Stadium Nasional Jepun, apabila beliau memecahkan rekod dunia buat kali ke-14 menerusi percubaan ketiga dan terakhirnya, sekali gus mengekalkan gelaran juara dunia.
Seramai 53,000 penonton tetap setia di tempat duduk walaupun acara di trek telah lama berakhir.
Duplantis telah memastikan kemenangannya dengan lompatan setinggi 6.15 meter, sebelum menaikkan palang setinggi 15 sentimeter lagi.
Beliau berjaya melakukan lompatan tersebut pada percubaan ketiga dalam acara lompat galah yang sememangnya dikuasainya.
Rakan-rakan pesaing kemudian mengerumuni Duplantis ketika beliau berjalan sambil diselimuti bendera Sweden.
“Ini lebih baik daripada apa yang saya bayangkan. Peluang dapat menghadiahkan anda semua rekod dunia ini sungguh menakjubkan. Sorakan penonton begitu kuat sekali,” kata Duplantis.
Atlet Greece, Emmanouil Karalis, meraih pingat perak dengan catatan 6.00 meter, manakala atlet Australia, Kurtis Marschall, memenangi gangsa selepas menyamai rekod peribadinya 5.95 meter.
Kedua-dua Marschall dan atlet Amerika Syarikat, Sam Kendricks, mencatat ketinggian sama, namun Marschall memenangi pingat tersebut kerana bilangan percubaannya kurang.
Mengulas tentang pencapaian hebatnya itu, Duplantis berkata:
“Saya rasa satu-satunya cara untuk meninggalkan Jepun ialah dengan mencipta rekod dunia. Itulah pendirian saya. Buat masa ini saya tidak tahu apa yang menanti saya selepas ini, dan saya juga tidak risau.
“Saya hanya mahu menikmati detik ini. Sepanjang hari saya berasa sangat baik. Saya tahu saya mampu memecahkan rekod itu.”
Marschall pula berkata: “Dia (Duplantis) melakukan perkara luar biasa, perkara yang ramai orang anggap mustahil. Saya tidak sabar untuk melihat apa lagi yang mampu dia lakukan pada masa akan datang.”
Dalam acara maraton, atlet Tanzania, Alphonce Felix Simbu, meraih pingat emas dalam keputusan garisan penamat yang amat tipis, menewaskan atlet Jerman, Amanal Petros.
Kejayaan Simbu, 33 tahun, itu lebih manis kerana membawa gelaran dunia pertama buat negaranya.
Rakaman garisan penamat menunjukkan juara perlumbaan sejauh 42.195 kilometer itu ditentukan hanya dalam tiga peratusan saat, apabila Simbu mengejar Petros yang melompat ke garisan penamat.
Jurang ini lebih tipis daripada 0.05 saat yang dicatatkan antara pemenang pingat emas dengan perak dalam final 100 meter lelaki pada 14 September.
Simbu dan Petros diberi catatan masa sama, iaitu 2 jam 9 minit 48 saat, namun atlet Jerman itu meraih pingat perak meskipun beliau menguasai sebahagian besar perlumbaan.
Atlet Italy, Iliass Aouani, memenangi gangsa dengan catatan 2:09:53.
Mengulas tentang kemenangan bersejarahnya buat Tanzania, Simbu berkata:
“Apabila kami memasuki stadium, saya tidak pasti sama ada saya akan menang. Saya tidak tahu jika saya telah menang.
“Tetapi apabila saya melihat skrin video dan mendapati nama saya di tempat teratas, saya berasa lega.
“Hari ini saya mencipta sejarah – pingat emas pertama Tanzania di kejohanan dunia.”
Dalam final acara lontar tukul besi wanita, juara Olimpik dari Canada, Camryn Rogers, menjadi juara dunia acara itu buat kali kedua, dengan lontaran kedua sejauh 80.51 meter – mencatat lontaran kedua paling jauh dalam sejarah.
China meraih pingat perak melalui Zhao Jie, yang mencatat rekod peribadi 77.60 meter, dan pingat gangsa oleh Zhang Jiale dengan lontaran 77.10 meter.
Dalam acara 400 meter berpagar lelaki, wakil Singapura, Calvin Quek, mencatat masa 50.17 saat dalam pusingan awal, menamatkan perlumbaan di tempat terakhir daripada sembilan pelari dalam saringan ketiga, dan ke-39 daripada 44 peserta keseluruhan.
Rekod kebangsaan Quek ialah 49.75 saat.
Hanya empat pelari yang menduduki tempat teratas setiap lima saringan dan empat peserta dengan masa terpantas seterusnya layak ke separuh akhir.
Selain itu, pelari pecut Singapura, Shanti Pereira, akan beraksi dalam pusingan awal 200 meter pada 17 September. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg