Buat pertama kali dalam lebih lima tahun, atlet lompat tinggi nasional, Kampton Kam, bersedia menghadapi perjalanan ke Sukan SEA tanpa kecederaan atau masalah – dan berharap keadaan itu berkekalan – selepas terlepas beberapa edisi sebelum ini.

Selepas membuat penampilan sulung di Sukan SEA 2019 di Filipina, Kam, 23 tahun, terlepas menyertai edisi Hanoi 2022 kerana sedang menjalani pembedahan bagi merawat pneumotoraks, atau paru-paru kempis.

Pada 2023, Kam tidak dapat bertanding di Kemboja kerana beliau perlu menghadiri peperiksaan sekolah di Wharton School Universiti Pennsylvania, lapor The Straits Times (ST).

Menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand yang bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember, Kam disahkan berada dalam keadaan sihat.

Beliau juga berjaya memperbaharui rekod nasional lompat tinggi tertutup miliknya sendiri ketika menjuarai Kejohanan Tertutup Heptagon Liga Ivy 2025 pada 2 Mac.

Di Dewan Barton, Universiti Cornell, New York, lompatan setinggi 2.21 meter Kam membolehkan beliau mempertahankan gelaran Liga Ivy miliknya, mengatasi sembilan pesaing lain.

Usahanya itu juga melebihi 1 sentimeter daripada lompatan rekodnya di acara Darius Dixon Memorial Invitational pada Februari 2024.

Ia juga merupakan kemenangan ketiganya pada musim ini, selepas meraih kejayaan di acara Philadelphia Metro pada 21 Februari dan Penn Classic pada 8 Februari.

Bercakap kepada ST pada 3 Mac, Kam berkata: 

“Saya telah mengejar rekod ini selama setahun, dan apabila saya akhirnya dapat mencapainya, terdapat rasa lega dan gembira yang bercampur-baur.

“Ia sememangnya beberapa tahun yang sukar. Saya menyertai kejohanan ini dengan rasa bimbang akibat beberapa kecederaan kecil, dan saya sendiri terkejut dengan pencapaian itu.

“Sejak kejohanan ini tahun lalu (2024), saya bergelut dengan kecederaan yang sangat membebankan. Saya tidak mengambil mudah keadaan diri yang kini lebih baik, dan saya harap dapat kekal bebas daripada kecederaan.”

Selepas kejohanan Liga Ivy 2024, Kam mengalami sesamoiditis – iaitu radang pada tulang di bahagian tapak kaki serta tendon. Kecederaan itu menyebabkan beliau terlepas beberapa kejohanan musim luar dan hanya pulih sepenuhnya pada Januari.

Pada Oktober 2023, beliau juga berdepan masalah tekanan pada pergelangan tangan dan belakang badan selepas terjatuh di gim ketika melompat melepasi kotak pliometrik setinggi 54 inci.

Kini, Kam sedang berusaha untuk mengembalikan prestasi terbaiknya sebelum ini. 

Selepas mencatat rekod baru bagi acara tertutup, beliau menyasar untuk memecah rekod nasional bagi acara luar 2.22 meter – yang telah dipertahankan selama 30 tahun oleh Wong Yew Tong di Sukan SEA 1995 di Chiang Mai, Thailand.

Itu juga merupakan kali terakhir atlet lelaki lompat tinggi nasional mendapat pingat di Sukan SEA.

Dengan catatan peribadi terbaik 2.20 meter bagi acara luar, Kam telah pun melayakkan diri ke Sukan SEA 2025 dan berazam menamatkan kemarau pingat Singapura.

Beliau berkata: “Mewakili Singapura sentiasa menjadi satu kebanggaan, dan saya mahu kembali ke Sukan SEA untuk memenangi pingat emas.

“Ia sudah lama dinantikan, dan saya berharap saya yang dapat melakukannya. Saya akan terus bekerja keras untuk terus mempertingkatkan prestasi.”