PARIS: Dua setengah tahun selepas bertanding dalam Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada Februari 2022, atlet luncur ais dari Amerika Syarikat dan Jepun menaiki podium di Paris pada 7 Ogos untuk menerima pingat emas dan perak masing-masing yang diperuntukkan semula berikutan isu salah guna dadah yang menggegarkan temasya sukan itu.
Ini berikutan atlet Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC), Kamila Valieva, diuji positif mengambil trimetazidine, ubat terlarang yang menghalang angina – sesak dada disebabkan aliran darah ke jantung yang berkurang – dalam kejohanan kebangsaan Russia pada Disember 2021 menjelang temasya sukan di Beijing.
Keputusan ujian positif itu diketahui hanya sehari selepas Valieva membantu ROC memenangi emas dalam acara berpasukan di Beijing.
Beliau menjadi atlet tumpuan untuk memenangi pingat Olimpik dalam acara tunggal tetapi terlepas peluang selepas berada di tempat keempat. Beliau dibenarkan bertanding meskipun diuji positif.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan tiada pingat akan diberikan untuk acara luncur ais berpasukan sehingga kes Valieva diselesaikan.
Kes perundangan susulan itu menyebabkan ketidakpastian di kalangan pasukan lain selama beberapa tahun kerana pingat dan tangga kedudukan masih menjadi tanda tanya.
Pada Januari, mahkamah tinggi bagi sukan memutuskan Valieva bersalah kerana melanggar peraturan salah guna dadah dan melucutkan ROC daripada pingat emas bagi acara berpasukan luncur ais di Beijing.
Sebaliknya, ROC diturunkan kepada tangga ketiga selepas Kesatuan Luncur Antarabangsa mengemas kini keputusan bagi acara luncur ais berpasukan untuk temasya Beijing selepas mahkamah mendapat Valieva bersalah.
Canada – yang sebelum ini berada di tangga ketiga – dikeluarkan daripada tempat ketiga dan perlu berpuas hati di tangga keempat. Jepun dinaikkan daripada gangsa kepada perak.
Kegirangan jelas terpancar di wajah pasukan luncur ais Amerika Syarikat, yang akhirnya menerima emas mereka berlatarbelakangkan Menara Eiffel.
Acara penyampaian pingat itu diadakan di Champions Park – lokasi yang menghadap menara ikonik di mana atlet boleh meraikan pingat mereka di atas pentas bersama peminat.
Peluncur ais Amerika Syarikat, Madison Chock, yang digandingkan dengan Evan Bates, berkata: “Ia sesuatu yang sukar dipercayai.
“Kami meraih pingat kami, saya berpaling dan melihat Menara Eiffel, dan saya hanya terpesona. Ia benar-benar memukau.”
Begitu juga bagi atlet luncur ais Jepun, yang berkongsi bahawa pingat yang dimenangi akhirnya sampai ke tangan penerima yang sah, sekali gus menebus penantian sekian lama di hadapan sorakan gemuruh penonton – temasya di Beijing berlangsung tanpa kehadiran penonton dek pandemik Covid-19.
Atlet asal Jepun dan pemenang pingat gangsa bagi acara tunggal luncur ais, Kaori Sakamoto, berkata: “Saya sangat bersyukur kerana kami telah diberikan peringkat ini.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg