Dua atlet pencak silat, Sheik Farhan Sheik Alau’ddin dan Nurdianna Sidek, masing-masing dicalonkan sebagai finalis kategori Olahragawan dan Olahragawati Terbaik Anugerah Sukan Singapura (SSA) 2025.
Ini selepas jawatankuasa pemilihan SSA mengumumkan senarai finalis menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada 2 Jun.
Finalis Olahragawan Terbaik lain termasuk atlet luncur layang, Maximilian Maeder; atlet badminton, Loh Kean Yew; pemain pool, Aloysius Yapp; dan atlet wushu, Jowen Lim Si Wei.
Bagi Olahragawati Terbaik, finalis lain termasuk atlet wushu, Zeanne Law Zhi Ning; atlet boling, Daphne Tan Shi Jing; atlet tinju tendang, Valencia Yip Yin Tung; penembak, Teh Xiu Hong; dan perenang, Gan Ching Hwee.
Dianjurkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG), serta disokong oleh Tote Board, SSA 2025 memberi penghormatan tertinggi kepada individu dan pasukan yang layak dalam sukan bagi 2024.
Pemenang akan diumumkan pada majlis penyampaian SSA 2025 pada 20 Jun.
Terdapat 12 kategori anugerah, termasuk Olahragawan Terbaik, Olahragawati Terbaik dan Jurulatih Terbaik.
Selain itu, terdapat kategori untuk Acara Sukan Terbaik, Kisah Sukan Paling Berinspirasi dan Gambar Sukan Terbaik.
Ia juga menampilkan kategori atlet remaja, seperti Olahragawan Muda Terbaik, Olahragawati Muda Terbaik dan Pasukan Olahragawan/Olahragawati Muda Terbaik.
Finalis untuk Olahragawan Muda Terbaik antaranya adalah atlet terjun udara, Kai Minejima Lee; dan pesilat, Muhammad Iryan Anaqi Irwan.
Kategori Jurulatih Terbaik pula menyaksikan jurulatih silat, Mohamed Noor Rafili Mohamed Ramli; dan jurulatih bola jaring, Yeo Mee Hong; antara finalis.
Kategori Pasukan Terbaik (Sukan Berpasukan) termasuk Pasukan Perahu Naga Wanita dan Pasukan Bola Jaring.
Dalam kategori Acara Sukan Terbaik (Penyertaan Komuniti/Ramai), Triatlon T100 Singapura 2024 bersaing dengan Cigna Healthcare Hyrox Singapura 2024 untuk mendapatkan anugerah tersebut.
Kejohanan Catur Dunia FIDE Singapura 2024 adalah antara pesaing bagi Acara Sukan Terbaik (Pameran/Pertandingan).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg