Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Papan selaju kembali ke Sukan SEA

Jun 23, 2025 | 5:38 PM
Papan selaju, Sukan SEA, Thailand,
Sukan papan selaju bakal kembali dipertandingkan dalam Sukan SEA di Thailand pada Disember 2025. Persekutuan Rollersports Singapura (SRF) bakal melancarkan beberapa pertandingan untuk mengenal pasti bakat yang dapat mewakili Singapura dalam temasya serantau itu. - Foto ST

Sukan papan selaju bakal kembali dipertandingkan dalam Sukan SEA di Thailand pada Disember 2025.

Kali terakhir sukan tersebut dipertandingkan dalam Sukan SEA adalah pada 2019 di Filipina, yang menyaksikan tuan rumah menunjukkan penguasaan dengan memperoleh sebanyak 11 pingat, termasuk enam emas.

Singapura menghantar enam atlet papan selaju ke Sukan SEA 2019 – Feroze Rahman, Nur Farah Atika Abdullah, Chan Zuk Nok, Nur Azyan Azman, Johan Budiuzzaman dan Juvi Kiedis.

Namun, hanya Nur Farah Atika yang hampir mendapatkan pingat, apabila beliau mengakhiri pertandingannya di tempat keempat.

Menurut The Straits Times, Feroze tetap bangga dengan persembahan rakan sepasukannya dan menantikan pertandingan antarabangsa seterusnya.

“Atlet papan luncur yang menyertai Sukan SEA kini lebih bersemangat untuk melangkah lebih jauh,” kata juara X Games Asia 2011 itu.

Sukan papan selaju bukan sekadar bangkit di Asia Tenggara, malah di seluruh Asia, dengan kemunculan sulungnya dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Dalam temasya itu, Margielyn Didal, dari Filipina mencipta sejarah apabila meraih pingat emas dalam acara ‘street’ wanita, dan Keyaki Ike dari Jepun meraih emas dalam acara ‘street’ lelaki.

Bagi acara ‘park’, Kensuke Sasaoka dari Jepun muncul juara bagi kategori lelaki dan Sakura Yosozumi dari Jepun menjuarai kategori wanita.

Sukan papan selaju turut dipertandingkan dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhuo, yang menyaksikan China merangkul tiga pingat emas, dan Hinano Kusaki dari Jepun berjaya menjadi juara bagi kategori ‘park’ wanita.

Sukan papan luncur juga telah melangkah ke pentas sukan paling berprestij – Sukan Olimpik.

Dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 (yang berlangsung pada 2021), sukan tersebut diperkenalkan bersama sukan memanjat dan luncur ombak, sebagai sebahagian daripada usaha menarik minat generasi muda.

Jepun menguasai kejohanan papan luncur tersebut, dengan Yuto Horigome dan Momiji Nishiya masing-masing merangkul emas dalam acara ‘street’ lelaki dan wanita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg