Usaha mengenal pasti atlet papan selaju terbaik Singapura menjelang temasya Sukan SEA di Thailand pada Disember 2025 bakal bermula, menerusi siri Kejohanan Kebangsaan Papan Selaju anjuran Persekutuan Rollersports Singapura (SRF).
Kejohanan pertama akan diadakan di Taman Luncur Somerset pada 28 dan 29 Jun.
Kejohanan tersebut akan dijalankan mengikut piawaian pertandingan antarabangsa yang selaras dengan peraturan badan induk dunia, World Skate.
Bagi memastikan ketelusan dalam penilaian, sistem pemarkahan digital akan digunakan untuk mencatat keputusan bagi semakan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Panel juri pula akan diketuai oleh Kenny Reed, seorang bekas atlet profesional yang kini melatih pasukan kebangsaan Thailand dan mengetuai satu-satunya penyertaan Asia Tenggara dalam acara papan selaju di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kejohanan itu merupakan yang pertama daripada tiga acara utama yang dirancang oleh SRF untuk mengenal pasti bakat papan selaju tempatan.
Dua lagi kejohanan akan menyusul, iaitu Kejohanan Gabungan ‘Park’ dan ‘Street’ yang akan diadakan di Taman Jurong Lakeside dari 18 hingga 20 Julai 2025, serta Kejohanan ‘Park’ di Xtreme SkatePark, East Coast Park, pada 16 dan 17 Ogos 2025.
Menurut pihak penganjur, ketetiga kejohanan itu terbuka kepada atlet daripada semua peringkat umur dan kewarganegaraan.
Namun, hanya warganegara Singapura yang berumur lebih 22 tahun dan tidak memiliki dua kewarganegaraan sahaja layak dipertimbangkan untuk menyertai pasukan kebangsaan, selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc).
Bagi melayakkan diri bagi disenarai pendek ke dalam Skuad Pembangunan Kebangsaan, setiap atlet perlu menyertai sekurang-kurangnya satu acara bagi setiap disiplin iaitu ‘park’ dan ‘street’.
Selain itu, mereka yang dipilih diwajibkan mematuhi jadual latihan dan mengekalkan kadar kehadiran sekurang-kurangnya 80 peratus dalam semua sesi latihan Skuad Pembangunan Kebangsaan.
Pemilihan akhir ke Sukan SEA pula akan berdasarkan prestasi serta pemenuhan kriteria yang ditetapkan oleh Snoc dan pihak penganjur temasya.
SRF merancang untuk menubuhkan sebuah Skuad Pembangunan Kebangsaan terlebih dahulu, yang akan terdiri daripada peluncur terbaik dalam setiap kategori – lelaki dan wanita, ‘street’ dan ‘park’ – berdasarkan keputusan Kejohanan Kebangsaan.
Daripada skuad itu, pasukan akhir ke Sukan SEA akan dipilih.
Buat masa ini, SRF belum mempunyai pasukan kebangsaan yang rasmi, namun beberapa atlet tempatan telah menyertai kejohanan antarabangsa sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan.
Menurut Ketua Disiplin Skateboarding SRF, Encik Zulkarnaen Mohd Zin, Singapura telah mengemukakan pencalonan maksimum kepada Persekutuan Sukan SEA, iaitu lapan orang atlet: dua lelaki dan dua wanita bagi disiplin ‘Street’, serta dua lelaki dan dua wanita bagi ‘Park’.
Beliau juga menyifatkan kejohanan tersebut sebagai satu usaha penting dalam membangunkan semula landskap sukan papan selaju tempatan, selepas beberapa tahun menyepi dari pentas antarabangsa.
“Kejohanan ini adalah titik perubahan yang sangat penting. Selepas enam tahun tanpa penyertaan di Sukan SEA, kami mahu mewujudkan laluan yang mampan untuk peluncur tempatan bertanding di peringkat tertinggi,” katanya.
Sukan papan selaju kali terakhir dipertandingkan dalam Sukan SEA pada edisi Filipina 2019. Ia tidak dimasukkan dalam senarai acara sukan bagi edisi Vietnam 2021 dan Kemboja 2023.
Oleh itu, Sukan SEA 2025 di Thailand melambangkan satu peluang penting bagi kemunculan semula Singapura dalam acara papan selaju di peringkat serantau.
Atlet papan selaju negara bagi disiplin ‘park’, Farris Rahman, 30 tahun, turut menyuarakan keterujaan terhadap siri kejohanan ini.
“Saya rasa ini adalah peluang yang sangat baik untuk atlet papan selaju Singapura menunjukkan bakat mereka dan membuktikan bahawa mereka mampu bersaing di peringkat tinggi,” katanya.
“Saya berharap kejohanan ini dapat menjadi batu loncatan yang bermakna dan membuka lebih banyak peluang untuk atlet tempatan, sekali gus membantu memajukan lagi ekosistem papan selaju di Singapura,” tambahnya.
Bayaran penyertaan bagi setiap acara ialah $15, dan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi di pautan, league.sk8.house
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg