Sekolah Sukan Singapura (SSP) telah mengiktiraf bukan pelajarnya sahaja, malah alumni, atau bekas pelajar, yang cemerlang dan menunjukkan semangat kesukanan.
Mereka diiktiraf pada Malam Anugerah SSP ke-21 pada 5 Februari di SSP kerana cemerlang dalam kededuanya, sukan dan usaha serta dedikasi terhadap perjuangan mengharumkan nama Singapura.
Pengetua SSP, Encik Ong Kim Soon, menekankan membina perwatakan baik adalah antara matlamat utama SSP. Beliau mengingatkan penerima anugerah agar berterima kasih kepada orang yang menyokong mereka sepanjang perjalanan sukan mereka.
“Buat penerima anugerah, apabila anda menerima anugerah hari ini, jangan lupa bahawa ia bukan hasil tenaga sendiri sahaja. Usah lupa mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyokong anda, termasuk ibu bapa anda nanti,” ujarnya.
Sifat berterima kasih itu ditunjukkan pesilat Singapura, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, yang berterima kasih kepada SSP, yang masih mengingati serta menghargai pencapaiannya walaupun beliau sudah tamat pengajian bersama mereka.
Ferdous antara penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang bagi prestasinya semasa Kejohanan Pencak Silat Sedunia, apabila beliau memenangi pingat emas dalam Kategori Senior I.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) Ferdous berkata: “Saya selalu menetapkan matlamat menjadi yang terbaik dalam apa jua yang saya lakukan. Inilah penekanan yang saya beri kepada diri saya sendiri.”
Usaha dan komitmen serupa juga dapat dilihat pada pemenang Anugerah Kecemerlangan Annabel Pennefather, atlet lawan pedang Filzah Hidayah Nor Anuar. Beliau berkongsi bahawa tidak mudah mengimbangi masa antara pengajiannya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan sukan, lebih-lebih lagi untuk terus mengekalkan kecemerlangan.
Beliau berkata setiap harinya sangat panjang, bermula dari awal pagi dengan berlari-lari anak, kemudian ke sekolah atau latihan, seterusnya membereskan tugasan sekolah, hingga sekitar 2 pagi esoknya.
Ferdous kini memberi tumpuan sepenuhnya bagi memenangi pingat emas di Sukan SEA di Thailand dari 9 hingga 20 Disember. Filzah pula ingin mengekalkan tempatnya di Sukan SEA dan mara ke peringkat akhir Piala Dunia.
Tetamu terhormat majlis itu, Pengerusi SSP, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Cik Teoh Zsin Woon, memuji kerja keras dan dedikasi semua penerima anugerah.
“Kami ingin bertepuk tangan bukan atas pencapaian mereka sahaja, bahkan semangat, kegigihan dan keazaman yang mereka tunjukkan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg