PARIS: Atlet taekwondo Arab Saudi, Dunya Abutaleb, terlepas memenangi pingat gangsa di Sukan Paris pada 8 Ogos namun telah mengharumkan nama wanita negaranya.
Atlet berusia 27 tahun itu, yang menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Dunia 2022 dalam kategori flyweight (-49 kilogram), adalah wanita Arab Saudi pertama yang mendapat kelayakan terus ke Sukan Olimpik.
Kemenangannya dalam Pusingan 16 menentang pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Abishag Semberg, dari Israel memberi kegembiraan buat peminat Abutaleb di media sosial.
Peminat yang menonton secara langsung juga melaungkan namanya apabila beliau tewas kepada pemenang pingat emas, Panipak Wongpattanakit.
Wongpattanakit, yang memenangi pingat emas Olimpik pertama Thailand di Tokyo dan mencipta lebih banyak sejarah di Paris dengan satu lagi kejuaraan, mengalahkan Abutaleb 4-1, 13-3 pada suku akhir.
Abutaleb menewaskan atlet Maghribi, Oumaima El Bouchti, dalam saringan semula atau ‘repechage’ untuk memperoleh peluang mendapatkan gangsa, tetapi tewas 0-3, 2-4 kepada atlet Iran, Mobina Nematzadeh.
“Saya berharap dapat mencapai pingat untuk negara saya... tetapi saya tidak bernasib baik,” kata Abutaleb dengan sebak kepada agensi berita, Reuters.
“Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan semua rakyat Saudi yang menyokong saya. Saya berharap mencapai kejayaan dalam masa terdekat untuk memenuhi aspirasi saya.”
Ketua persekutuan Taekwondo Saudi memuji Abutaleb dan berkata persembahannya boleh memberi inspirasi kepada lebih ramai atlet wanita Saudi.
“Kami bangga mempunyai wanita Arab Saudi pertama yang layak terus ke Sukan Olimpik,” kata Shaddad Alamri.
“Kami gembira dengan usaha yang beliau lakukan untuk berada di tempat kelima dalam penampilan pertamanya di Olimpik, dan kami berharap penyertaannya akan memberi inspirasi kepada lebih ramai atlet wanita Arab Saudi pada masa hadapan.”
Abutaleb, yang bertudung semasa pertandingan 8 Ogos, ingin memenangi pingat sebagai penghormatan kepada bapanya, yang meninggal dunia pada 2018. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg