Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet taekwondo S’pura bawa pulang pingat emas untuk arwah ibu

Diyanah menang acara ‘poomsae’ campuran (artistik) bersama Nicholas, telah wakili negara dalam Sukan SEA sejak 2017
Dec 22, 2025 | 5:30 AM
taekwondo, diyanah aqidah, nicholas khaw, sukan sea 2025, juara
Atlet taekwondo Singapura, Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi, bersama rakan sepasukannya, Nicholas Khaw, menamatkan kemarau sedekad negara untuk pingat emas pertama sejak Sukan SEA 2015. - Foto BH oleh KHALID BABA

Tarikh 10 Disember tercatat sebagai tarikh bersejarah apabila atlet taekwondo negara, Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi, akhirnya menggenggam pingat emas dalam acara regu campuran poomsae (seni) bersama rakan sepasukan, Nicholas Khaw, di temasya Sukan SEA 2025.

Pada usia 26 tahun, selepas lima kali mewakili Singapura di Sukan SEA sejak 2017, senyumannya terukir lebar, bukan sekadar kerana mencapai kemenangan, tetapi kerana gelaran yang sekian lama diidamkan kini menjadi nyata.

Diyanah mendapat inspirasi daripada atlet seniornya yang memenangi gelaran itu pada Sukan SEA 2015.

Kini, Diyanah dan Khaw menamatkan kemarau sedekad dengan menghadiahkan pingat emas pertama taekwondo sejak edisi temasya 2015, sekali gus emas pertama bagi Sukan SEA 2025.

Namun, sejurus sorotan kamera reda dan sorak kemenangan berlalu, tersingkap makna yang lebih mendalam di sebalik kejayaan itu.

Di sebalik azam memburu emas, tersimpan impian untuk memenuhi janji kepada arwah ibunya, Allahyarhamha Maslin Mashuri, yang meninggal dunia pada 2015 akibat serangan angin ahmar.

Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi, dan Nicholas Khaw, bangga mengibarkan bendera negara selepas menewaskan regu Vietnam di gelanggang Fashion Island Mall di Bangkok, pada 10 Disember.
Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi, dan Nicholas Khaw, bangga mengibarkan bendera negara selepas menewaskan regu Vietnam di gelanggang Fashion Island Mall di Bangkok, pada 10 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Diyanah tidak mampu menahan sebak ketika ditemui Berita Harian (BH) di Fashion Island Mall, Bangkok, pada 11 Disember.

“Ibu pernah berkata mahu melihat saya berdiri di atas podium Sukan SEA.

“Sebab itu saya tekad berusaha sehingga meraih pingat gangsa di Sukan SEA 2023 di Kemboja,” katanya perlahan.

Setelah menunaikan janji itu, peluang untuk beraksi di Sukan Asia 2023 mendorongnya untuk terus berjuang.

Namun, selepas terlepas meraih pingat gangsa apabila tewas tipis – hanya sekitar 0.02 mata – ia membakar semangat Diyanah untuk bangkit dan menebus kekecewaan di Sukan SEA 2025 pula.

Minat Diyanah terhadap taekwondo bermula ketika beliau menuntut di Sekolah Menengah Edgefield, apabila setiap pelajar diwajibkan mempelajari sukan itu.

Walaupun pada awalnya Diyanah lebih cenderung kepada tarian, kejayaan dalam pertandingan antara sekolah membuat beliau jatuh cinta pada seni bela diri itu, sehingga sanggup meninggalkan kelab drama demi mendalami dunia taekwondo.

Namun, hidupnya berubah sekelip mata apabila kehilangan insan tersayang.

“Selepas ibu meninggal dunia, saya rasa bertanggungjawab untuk menjaga adik saya, walaupun adik saya hanya muda satu tahun,” cerita Diyanah, mengenang detik sukar ketika beliau baru berusia 16 tahun.

Walaupun ibunya tiada lagi di sisi, Diyanah yakin kejayaan yang dibina hasil kerja keras selama lebih sedekad itu pasti membanggakan arwah.

Antara pencapaiannya termasuk penerimaan Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Spex) pada 2024.

Di sebalik kehilangan tonggak utama hidupnya, sokongan keluarga kekal utuh sepanjang perjalanannya sebagai atlet, sehingga akhirnya muncul juara di Sukan SEA 2025.

“Kami adik-beradik menjadi lebih rapat selepas pemergian ibu,” katanya.

Beliau turut berseloroh mengenang kenangan manis apabila ayahnya memandu hampir empat jam ke Kuala Lumpur agar seluruh keluarga dapat memberi sokongan semasa penampilan sulungnya di Sukan SEA 2017.

Diyanah dan adiknya, Dian Ahmad Aqeed, dibesarkan ibu mereka selepas kededua ibu bapa mereka berpisah.

Ayahnya, Encik Muhammad Dian Khudhairi Mohamed Ali, kemudian bernikah semula dan membesarkan seorang lagi adik, Dian Aqeel.

Diyanah bersyukur keluarganya sentiasa ada, meskipun mengakui sedih kerana jarang dapat bersama mereka akibat komitmen latihan dan pertandingan di luar negara.

Beliau kadangkala hanya berada di Singapura untuk tempoh dua hingga tiga minggu sahaja, sebelum perlu berangkat ke luar negara.

Jadualnya ketika di Singapura turut padat, dipenuhi dengan sesi latihan.

Setiap ruang masa yang ada dimanfaatkan untuk pulang ke rumah dan bertemu keluarga.

Namun, satu penyesalan masih bersisa, bahawa beliau tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama adik bongsunya ketika membesar.

“Dulu dia selalu kejutkan saya dan mahu bermanja. Sekarang dia sudah besar, asyik dengan telefon bijaknya,” katanya sambil tersenyum.

Rasa rindu itu sedikit terubat bersama rakan sepasukan.

Sebagai atlet paling berpengalaman, Diyanah kini memikul peranan sebagai ‘kakak’ kepada atlet muda.

“Saya juga menganggap mereka sebagai keluarga... Kami saling menyokong, tetapi saya cuba juga untuk memantau keadaan mereka,” tambahnya.

Kini, beliau sedar bahawa berada di puncak membawa cabaran baru.

Hanya sehari selepas kemenangan, tekanan mempertahankan gelaran sudah mula terasa, dengan Sukan SEA 2027 di Malaysia menanti, tempat di mana segalanya bermula.

Namun sebelum itu, juara Sukan SEA itu akan menumpukan persiapan menghadapi cabaran seterusnya: Sukan Asia dan Kejohanan Dunia 2026.

Ibu pernah berkata mahu melihat saya berdiri di atas podium Sukan SEA. Sebab itu saya tekad berusaha sehingga meraih pingat gangsa di Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg