BARCELONA: Atlet Uganda, Jacob Kiplimo, memecahkan rekod dunia separuh maraton dengan mencatatkan masa 56 minit 41 saat di Barcelona pada 16 Februari.
Masa yang dicatatkan itu 49 saat lebih cepat daripada rekod yang dicatatkan oleh atlet Habsyah, Yomif Kejelcha, pada Oktober 2024.
Menurut laman web, World Athletics, juara dunia dua kali dalam acara rentas desa itu mencatatkan peningkatan terbesar dalam rekod separuh maraton lelaki.
“Ia adalah perlumbaan yang sempurna. Suhu yang ideal, tiada angin langsung, litar perlumbaan yang hebat – semuanya berlangsung lebih baik daripada apa yang dijangkakan,” kata Kiplimo.
“Saya berasakan diri saya penuh tenaga dan memutuskan untuk mempercepatkan rentak bermula dari kilometer ketiga, tetapi saya tidak pernah membayangkan dapat melakukannya dalam masa kurang dari 57 minit. Itu benar-benar menakjubkan.
“Saya tidak akan berlumba lagi sehingga kemunculan di maraton di London pada 27 April.”
Atlet Jepun, Toshikazu Yamanishi, memecahkan rekod dunia jalan balapan lelaki (20 kilometer) dengan mencatatkan masa satu jam, 16 minit dan 10 saat di Kobe, Jepun mengatasi rekod yang ditetapkan oleh rakan senegaranya, Yusuke Suzuki, pada 2015. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg