LONDON: Dua tahun selepas Sifan Hassan berlumba melakar kemenangan di Maraton London yang tidak dapat dilupakan selepas berhenti dua kali untuk meregangkan pinggulnya dalam penampilan sulung yang luar biasa, pelari jarak jauh Belanda itu kembali pada 2025 dan teruja untuk melihat prestasi yang boleh dicapainya.
Empat juara maraton Olimpik dan Paralimpik akan ikut serta dalam perlumbaan pada 27 April.
Namun, di antara empat nama yang disahkan untuk Maraton London, Sifan, pelari berusia 32 tahun yang memenangi pingat emas di Olimpik Paris 2024, adalah yang paling banyak menarik perhatian.
“Saya tidak pernah bermimpi akan menang pingat emas di London tetapi tiba-tiba (selepas itu) fikiran saya memikirkan tentang Paris,” kata Sifan kepada pemberita menerusi panggilan video.
“Saya pernah ada perasaan takut terhadap maraton – adakah saya tidak akan lari hingga selesai? Adakah ia akan menyakitkan? Adakah orang akan mengatakan bahawa saya melakukan kesilapan besar? Jadi, saya tidak begitu menikmati maraton (2023) di London. Kali ini saya benar-benar mahu pergi dan menikmatinya.”
Sementara itu, juara maraton lelaki Olimpik Paris, Tamirat Tola, akan memburu kemenangan pertamanya di London pada percubaan kelima; manakala pemenang pingat emas maraton Paralimpik, Catherine Debrunner dan Marcel Hug, menerajui maraton kerusi roda.
Sifan bersaing di maraton Paris menentang Tigst Assefa dari Ethiopia sebelum menewaskannya di bahagian terakhir.
Kemenangan itu menambah emas kepada dua gangsa yang dimenanginya dalam acara 5,000 meter dan 10,000 meter pada awal temasya itu.
Kemenangan Sifan menjadikan beliau atlet pertama meraih tiga pingat acara jarak jauh dalam satu temasya Olimpik sejak pelari Czech, Emil Zatopek, mencapainya pada 1952.
Beliau kemudian berehat hampir empat bulan untuk bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Saya tidak memikirkan soal berlari, saya benar-benar menjalani pemulihan yang optimum dan menakjubkan.
“Saya ingin menunjukkan kepada rakan dan keluarga bahawa walaupun saya sibuk dengan kerja, mereka tetap penting bagi saya,” katanya.
Walaupun sudah mencapai banyak kejayaan dalam sukan itu, dan setelah kembali segar sepenuhnya, Sifan tidak bercadang untuk berehat.
“Saya mempunyai banyak matlamat dalam fikiran saya, saya mahu melihat apa yang boleh saya lakukan,” tambahnya.
Beliau sedang menimbangkan untuk memberi tumpuan pada perlumbaan 42.195 kilometer yang melelahkan untuk satu musim menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028, dengan sasaran ikut serta dalam empat maraton utama dunia tahun itu.
Beliau juga percaya rekod maraton dunia boleh dicapai – walaupun Ruth Chepngetich, dari Kenya, menang dalam masa 2:09:56 di Marathon Chicago pada Oktober.
“Tiada sesiapa menyangka seorang wanita akan berlari ketika itu.
“Mungkin masalah masa. Jika saya berlatih dengan betul, mungkin saya mengambil masa dua tahun untuk sampai ke sana, mula-mula berada dalam bentuk 2:11, dan kemudian 2:10, dan kemudian mencapai sasaran masa itu. Ia tidaklah mustahil,” ujar Sifan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg