Poland mungkin sudah tersingkir dari kejohanan Euro 2024 namun pasukan pimpinan Michal Probierz itu masih mempunyai pengaruh besar dalam Kumpulan D, terutama nasib pasukan Perancis, lawan mereka dalam perlawanan terakhir tengah malam Rabu (waktu Singapura).
Perancis, yang mempunyai empat mata selepas dua perlawanan, kini menduduki tangga kedua, terikat mata dengan Belanda yang duduki tangga teratas kumpulan berikutan rekod jaringan yang lebih baik.
Di tempat ketiga ialah Austria dengan tiga mata, namun dengan rekod jaringan yang lebih baik berbanding Perancis dan Belanda.
Sekiranya Poland berjaya menewaskan Perancis, atau sekurang-kurangnya seri, dan Austria pula seri atau menang menentang Belanda, pasukan pimpinan Didier Deschamps perlu berpeluh menunggu sama ada mereka layak ke pusingan kalah mati sebagai empat pasukan tempat ketiga terbaik kejohanan.
“Kami kecewa dengan prestasi dan keputusan kami dalam kejohanan ini sejauh ini,” kata Probierz.
“Justeru, dalam perlawanan terakhir ini, kami akan berikan segala-galanya untuk penyokong kami. Motivasi kami ialah tiga mata untuk penyokong Poland, bukan untuk menjejas peluang mana-mana pasukan,” ujarnya.
Probierz menekankan pasukannya kini sedang menjalani proses pembaharuan dan pembangunan semula, dan jika mereka berjaya melabuhkan tirai Euro 2024 dengan keputusan positif, ia akan banyak membantu kepada proses tersebut.
Sekiranya keputusan tidak menyebelahi Perancis, para pengamat berkata pasukan itu masih mempunyai peluang cerah untuk ke pusingan kalah mati.
“Mereka besar kemungkinan dapat mengambil tempat sebagai antara empat pasukan ketiga dalam kumpulan yang terbaik namun masalahnya ialah ini mendedahkan mereka kepada kemungkinan berdepan dengan pasukan-pasukan pilihan,” kata bekas pemain pertahanan England dan Manchester United, Gary Neville.
“Iya anda perlu menewaskan pasukan terbaik untuk menjadi juara tapi lazimnya anda berharap akan bertemu pasukan-pasukan ini di peringkat suku akhir dan selanjutnya,” ujar beliau lagi.
Jurulatih Perancis, Deschamp, bagaimanapun yakin anak buahnya akan menyempurnakan tugas untuk layak secara automatik dari kumpulan mereka.
Beliau juga mempunyai tenaga kapten dan pemain bintang, Kylan Mbappe, yang sudah pulih dari kecederaan hidung yang patah.
“Kami harus bersikap profesional. Kami mempunyai tugas untuk dilakukan, kami mempunyai pemain untuk menyempurnakan tugas itu,” ujar Deschamps lagi.
Dalam pada itu, perlawanan Belanda menentang Austria juga berpotensi meninggalkan kesan mendalam kepada kesudahan Kumpulan D.
Tiga mata akan melihat anak buah Ralf Rangnick merampas tempat pertama dan muncul sebagai juara kumpulan.
“Austria adalah pasukan yang menyerlah dalam kejohanan ini meskipun mereka hanya menduduki tangga ketiga dalam kumpulan,” kata bekas kapten England, yang kini bertugas sebagai pengulas di kejohanan Euro 2024, Alan Shearer.
“Kita semua tahu bahawa Rangnick adalah seorang jurulatih yang baik, malah mungkin antara terbaik di dunia, dan beliau menunjukkannya dengan pasukan Austria ini. Saya tidak akan terkejut jika mereka menewaskan Belanda,” ujar beliau lagi.
Rangnick bagaimanapun enggan meletakkan terlalu banyak tekanan ke atas pemainnya. Beliau akur, pasukannya mampu menewaskan mana-mana pasukan, namun menekankan mereka harus memberi tumpuan 100 peratus memandangkan kaliber pesaing mereka, iaitu Belanda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg