Pengurus England, Gareth Southgate, berkata pasukan kendaliannya sedang mengalami masalah di bahagian tengah pada Euro 2024 dan belum menemui “pengganti semula jadi untuk Kalvin Phillips”.
Tiga Singa (gelaran England) seri 1-1 dengan Denmark pada Khamis (20 Jun) – keputusan yang meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan C dan berada dalam kedudukan kukuh untuk layak ke pusingan 16 terakhir.
Bagaimanapun, seperti kemenangan 1-0 mereka ke atas Serbia pada 16 Jun, pasukan Southgate gagal mengekalkan rentak permainan dan tidak menunjukkan prestasi terbaik.
Phillips, 28 tahun, telah memainkan peranan penting dalam perjalanan England ke perlawanan akhir Kejohanan Eropah pada 2021.
Namun, tidak dipilih untuk kejohanan kali ini di Jerman disebabkan tempoh pinjaman yang mengecewakan dengan West Ham selepas beliau kurang mendapat waktu permainan di Manchester City.
Bekas pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson, 34 tahun, turut diketepikan daripada skuad 26 pemain walaupun telah memainkan peranan penting dalam Piala Dunia 2018, apabila England mara ke saingan separuh akhir.
Pemain bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, telah bergandingan dengan Declan Rice dari Arsenal di bahagian tengah dalam dua perlawanan England dalam kejohanan itu.
Namun, Alexander-Arnold, 25 tahun, dikeluarkan pada awal separuh masa kedua dan digantikan oleh Conor Gallagher dari Chelsea, dengan England sering kali gagal mengawal permainan.
Mengenai Alexander-Arnold, Southgate berkata:
“Beliau mempunyai beberapa detik bermain seperti yang kami inginkan. Ini adalah eksperimen – kami tidak mempunyai pengganti semula jadi bagi Kalvin Phillips.
“Ketika ini, kami tidak bermain seperti apa yang kami inginkan.”
Di Frankfurt, Harry Kane menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan itu dengan meletakkan England di hadapan pada minit ke-18.
Namun, Denmark menyamakan kedudukan 16 minit kemudian menerusi rembatan jarak jauh Morten Hjulmand.
Denmark, yang berada 16 kedudukan di bawah England, berada di tempat kelima dalam kedudukan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), bermain lebih baik untuk sebahagian besar separuh masa kedua, walaupun rembatan Phil Foden terkena tiang.
Pasukan Southgate tidak dapat mencari gol kemenangan yang akan membawa mereka terus ke peringkat kalah mati dengan berbaki satu perlawanan.
“Kami faham ramai akan kecewa dengan persembahan dan benar, kami perlu bermain dengan lebih baik,” kata Southgate dalam temu bual bersama BBC One.
“Pada masa ini kami tidak manfaatkan bola dengan cukup baik dan perlu terima bahawa apabila berlaku demikian, kami akan menderita seperti yang kami alami.
“Kami tahu ada satu lagi tahap yang perlu kami capai.”
Southgate, yang telah mengendalikan 97 perlawanan England, berasa pasukannya mudah kehilangan penguasaan bola.
“Terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan, ini terbukti daripada dua persembahan yang telah kami pamerkan – jelas ia bukan apa yang kami harapkan,” tambah Southgate.
“Kami telah bermain dengan pasukan yang mampu bermain dengan tiga pemain pertahanan dan bukan mudah bagi kami memberi mereka tekanan.
“Sudah pasti kami perlu melakukan lebih baik daripada yang kami lakukan dalam dua perlawanan ini,” ujar beliau lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg