Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mbappe kembali berlatih dua hari sebelum perlawanan dengan Belanda

Jun 20, 2024 | 11:29 AM
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, kembali berlatih sambil memakai pembalut luka di hidungnya selepas beliau patah hidung semasa menentang Austria pada 17 Jun dalam kejohanan Euro 2024.
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, kembali berlatih sambil memakai pembalut luka di hidungnya selepas beliau patah hidung semasa menentang Austria pada 17 Jun dalam kejohanan Euro 2024. - Foto AFP

PADERBORN (Jerman): Bintang Perancis, Kylian Mbappe, terlepas banyak sesi latihan berpasukan pada 19 Jun – dua hari menjelang pertembungan penting dengan Belanda dalam kejohanan Euro 2024 di bandar Leipzig.

Ini selepas beliau patah hidung semasa menentang Austria yang menyaksikan ‘Les Bleus’ meraikan kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan pertama mereka dalam kejohanan tersebut pada 17 Jun.

Kapten Perancis itu mengalami kecederaan selepas berlanggar bahu pemain pertahanan Austria, Kevin Danso, semasa membuat cubaan untuk menanduk bola pada minit-minit terakhir perlawanan itu.

Beliau digantikan oleh Olivier Giroud pada minit ke-90.

Pemain berusia 25 tahun itu terlepas permulaan sesi latihan tersebut, tetapi beliau turun padang dengan memakai pembalut luka di hidungnya untuk berlatih bersendirian dengan jurulatih kecergasan.

Selepas melakukan beberapa sesi hantaran pendek dengan jurulatih kecergasan, Mbappe kemudian menyertai rakan sepasukannya untuk latihan menjaring gol.

Pada 18 Jun, kakitangan jurulatih Perancis menyatakan bahawa Mbappe masih “ragu-ragu” untuk terlibat dalam perlawanan menentang Belanda.

Menurut Persekutuan Bola Sepak Perancis, Mbappe telah menjalani pemeriksaan di hospital di bandar Duesseldorf sebelum menyertai semula skuad Perancis di bandar Paderborn.

Persekutuan itu menambah bahawa Mbappe, yang baru-baru ini menandatangani kontrak bersama kelab Sepanyol Real Madrid, tidak akan memerlukan pembedahan dan menyatakan beliau akan menggunakan pelitup bagi membolehkannya kembali beraksi “selepas menjalani rawatan untuk tempoh tertentu”.

Sekiranya Mbappe tidak dapat beraksi menentang Belanda, terdapat kemungkinan besar beliau akan digantikan oleh Giroud, penjaring gol terbanyak Perancis sepanjang zaman, bagi perlawanan tersebut.

Perancis dan Belanda sama-sama mendahului Kumpulan D, masing-masing dengan tiga mata selepas kedua-dua pasukan itu memenangi perlawanan pembukaan mereka.

Belanda mengalahkan Poland 2-1 pada 16 Jun, manakala Perancis mengalahkan Austria 1-0 pada 17 Jun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg