MADRID: Ramai penyokong Vinicius Junior sedar bahawa hanya masa yang akan menentukan bila penyerang Real Madrid itu akan ditabal menjadi pemain terbaik dunia.
Memang sejak awal lagi nama Vinicius menjadi buah mulut ramai dan dikhabarkan bakal mencapai puncak dunia.
Namun baru-baru ini, pemain bola sepak tersentak apabila beliau hanya menduduki tempat kedua di belakang pemain midfield Manchester City, Rodri, bagi Anugerah Ballon d’Or.
Padahal Vinicius, yang berasal dari Brazil, adalah favorit untuk menjulang anugerah itu kali ini.
Keputusan itu sudah tentu menimbulkan kekecohan apatah lagi Real Madrid tidak menghantar wakil ke majlis itu sebagai bantahan terhadap anugerah tersebut, dan wartawan serta ahli politik di Brazil menyifatkannya sebagai ‘ketidakadilan’.
Menurut hantaran di media sosial X, pemain berusia 24 tahun itu ternyata agak kecewa dengan keputusan itu.
“Saya akan terus lakukan yang terbaik,” katanya.
Vinicius menjaringkan satu-satunya gol Real Madrid semasa kekalahan pasukan itu kepada AC Milan 1-3 dalam Liga Juara-Juara pada 6 November.
Jaringan penaltinya itu bak satu mesej bahawa beliau ternyata layak menerima anugerah Ballon d’Or.
“Beliau mempunyai keberanian yang luar biasa, dan sentiasa berada di mana-mana,” kata bekas penyelaras bola sepak remaja Flamengo yang mengenali Vinicius sejak usia 10 tahun, Carlos Noval, semasa ditemui pihak media.
“Di sepanjang jalan, anda melihat orang ramai memerhatikannya buat kali pertama dan menyedari serta-merta bahawa pemain itu agak istimewa.
“Saya masih ingat beliau bermain dalam pertandingan Copa Votorantim yang ibarat kejuaraan Brazil bagi pemain bawah 15 tahun, dan beliau benar-benar hebat setiap kali beraksi di padang.
“Beliau memang sukar dibendung... dan beliau mampu meledakkan dua, tiga gol dalam setiap perlawanan.
“Kemudian, pada satu ketika, seorang wakil Manchester United duduk di sebelah saya dan berkata, ‘Saya tidak pernah lihat budak berusia 14 tahun melakukan apa yang dia lakukan – jagalah dia dengan baik di luar padang kerana nampaknya di atas padang dia boleh melangkah jauh’.”
Ternyata Vinicius telah pun melangkah jauh dalam arena bola sepak. Namun perjalanannya tidaklah begitu lancar.
Vinicius membesar di Sao Goncalo, sebuah bandar miskin di luar Rio de Janeiro yang dikawal oleh kumpulan mafia dadah di tempat seseorang itu tidak boleh bergerak bebas.
Ternyata ia tidak menyiapkan Vinicius untuk apa yang akan dihadapinya di Sepanyol berikutan perpindahannya pada 2018 dari Flamengo ke Real Madrid, semasa berusia 18 tahun.
Sejak beliau menjadi pemain utama dalam pasukan Real Madrid, La Liga telah merujuk 21 kejadian perkauman yang melibatkan bintang itu kepada pendakwa raya tempatan, akibat daripada kata-kata berbaur perkauman yang kerap dilempar terhadapnya dari arah tempat duduk penonton.
Ada yang mengherdik dan mengaitkannya dengan monyet dan pernah juga patung digantung di jambatan yang dikaitkan dengannya juga.
Pada Jun, tiga penyokong Valencia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana jenayah kebencian terhadap Vinicius dalam sabitan pertama bagi kes berkaitan perkauman di stadium bola sepak Sepanyol.
“Saya bukan mangsa perkauman. Saya penghukum perkauman,” tulis Vinicius di media sosial selepas itu.
“Semoga mereka yang rasialis akan takut, malu dan bersembunyi dalam bayang-bayang. Jika tidak, saya akan berada di sini untuk mendapatkan anda.”
Walaupun menitiskan air mata dalam satu sidang akhbar kerana mengakui kesan yang menimpa dirinya, Vinicius tidak pernah mengaku kalah.
Sebaliknya beliau telah menjadi suara kulit hitam terkemuka dalam menangani isu perkauman yang melanda bola sepak antarabangsa.
Pada mulanya terdapat beberapa kebimbangan dalam kalangan kakitangannya mengenai kesan terhadap persembahannya, tetapi jelas ia tidak menjadi sedemikian semasa beliau di atas padang.
Pada musim 2023 hingga 2024, Vinicius mempunyai musim jaringan terbaik dalam kerjayanya – menjaringkan 24 gol serta melakukan sembilan assist (hantaran yang membuka peluang kepada rakan lain menjaringkan gol) dalam 39 perlawanan untuk Real Madrid.
Pada usia 23 tahun dan 325 hari, beliau turut memecahkan rekod Lionel Messi sebagai pemain termuda yang menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, membawa kelab terkemuka Sepanyol itu merangkul kejuaraan Eropah ke-15 mereka.
Beliau melakukan perkara yang sama dalam La Liga juga.
Beliau tidak menunjukkan sebarang tanda ‘memperlahankan’ rentak kehebatannya musim kali ini, dengan permulaan terbaiknya bagi satu musim selepas menjaringkan lapan gol dan lima assist dalam 15 perlawanan untuk Real Madrid.
Pernah dikritik kerana kekurangan sentuhan akhir, jelas dilihat hari-hari sedemikian sudah lama berlalu.
Legenda kelab dan naib presiden Emilio Butragueno malah membandingkannya dengan Pele selepas hatrik menentang Borussia Dortmund baru-baru ini.
“Sejujurnya saya tidak tahu Vinicius begitu kuat dari segi mental,” kata bekas pemain pertahanan Newcastle United dan Lyon, Claudio Cacapa, yang melatihnya dalam pasukan bawah 15 tahun Brazil.
“Ini kerana apa yang beliau hadapi bukanlah mudah; ia amat menyakitkan... beliau kini mendapat sokongan ramai orang, dan itu hebat, tetapi pada mulanya beliau seolah-olah menghadapi dunia seorangan.
“Ketika itu Vinicius pula yang dikatakan bersikap keterlaluan dan diminta melupakan segala kritik dan cemuhan.
“Kemampuannya melalui semua cabaran tersebut, dan masih mampu mempamerkan kehebatan di atas padang... ia sememangnya sesuatu yang luar biasa sekali,” ujarnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg