MADRID: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, memuji Vinicius Jr yang “luar biasa” selepas penyerang Brazil itu menjaringkan hatrik pada separuh masa kedua pada 22 Oktober.
Jaringan hatrik itu membantu Real bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk membelasah Borussia Dortmund, 5-2 dalam Liga Juara-Juara.
Ancelotti beritahu sidang akhbar beliau yakin Vinicius, 24 tahun, akan memenangi anugerah Ballon d’Or untuk pemain terbaik dunia pada 28 Oktober.
“Apa yang boleh saya katakan adalah jarang dapat melihat pemain yang bermain pada separuh masa kedua seperti yang dilakukan Vinicius. Dan bukan kerana tiga gol itu, tetapi kerana perwatakannya. Dia luar biasa,” kata Ancelotti.
“Vinicius akan memenangi (Balon d’Or), bukan untuk apa yang dia lakukan malam ini, tetapi untuk apa yang dia lakukan tahun lepas. Tiga gol ini sudah pun dikira untuk Ballon d’Or tahun depan, itu sudah pasti. Dia adalah pemain yang diramalkan boleh membuat perubahan.”
Ancelotti berkata pasukannya tidak panik di bilik persalinan selepas Real ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama dan pasukannya mempunyai kematangan dan pengalaman untuk memahami apa yang perlu mereka lakukan untuk kembali.
“Kami jalaninya dengan tenang, tenang (selepas rehat). Kami tukar sistem dan kembali bermain dengan lebih sengit,” kata Ancelotti.
“Bercakap tentang menjaringkan tiga gol mungkin kelihatan mustahil, kami bercakap tentang matlamat kecil seperti hantaran yang baik, menangi pertarungan... Kami perlu menangi dinamik permainan dan dari situ anda mula menangi permainan.
“Kami agak gentar pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua kami beraksi lebih baik. Ia adalah separuh kedua terbaik musim ini.
“Kami perlu belajar daripada apa yang kami lakukan pada separuh masa kedua. Matlamatnya adalah untuk mulakan permainan dengan baik.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg