Pemandu Formula Satu (F1) bakal berdepan dengan keadaan mencabar di Litar Jalan Raya Marina Bay dari 9 hingga 11 Oktober, selepas amaran bahaya haba diisytiharkan bagi Grand Prix (GP) Singapura buat tahun kedua berturut-turut.

Pengarah perlumbaan, Rui Marques, mengeluarkan kenyataan pada 8 Oktober yang memaklumkan pasukan F1 bahawa peraturan bahaya haba Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) akan diaktifkan untuk kedua-dua sesi sprint (pecut) dan perlumbaan utama.

Ini berikutan ramalan cuaca rasmi yang menjangkakan suhu melebihi 31 darjah Celsius sepanjang hujung minggu perlumbaan itu.

Buat julung-julung kalinya, perlumbaan sprint diperkenalkan dalam GP Singapura pada tahun ini (2026), sekali gus menambah satu lagi sesi berintensiti tinggi bagi hujung minggu yang sememangnya diiktiraf sebagai antara yang paling mencabar dari segi fizikal dalam kalendar F1.

Perlumbaan sprint akan dipertandingkan pada 10 Oktober, manakala acara perlumbaan utama bakal berlangsung pada 11 Oktober.

Pengisytiharan tersebut bermakna pasukan-pasukan F1 wajib menggunakan langkah teknikal pencegahan bagi melindungi pemandu daripada kelesuan haba dan suhu badan yang terlalu tinggi.

Beberapa komponen terlibat termasuk pam, sistem saluran paip dan unit simpanan haba, dengan cecair sejuk yang dihasilkan oleh sistem tersebut disalurkan kepada pemandu melalui rompi kalis api khas yang dilengkapi dengan pelbagai tiub.

Kesemua komponen utama sistem itu wajib dipasang pada kereta, walaupun setakat ini, pemandu diberi pilihan sama ada mahu memakai rompi tersebut ataupun tidak.

Edisi perlumbaan malam di Singapura pada 2025 merupakan kali pertama peraturan bahaya haba FIA diaktifkan dalam acara F1.

Langkah tersebut kemudiannya diaktifkan di GP Amerika Syarikat 2025 di Texas, GP Austria pada Jun 2026, GP Italy di Monza pada September, serta GP Bahrain di Malaysia pada awal Oktober lalu.

Selain cuaca panas, pemandu juga perlu berdepan dengan masalah jerebu, memandangkan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam kekal berada pada tahap tidak sihat iaitu antara 101 dengan 200.

Pada 1 petang, 8 Oktober, bacaan PSI berada pada tahap 109 di utara, 108 di selatan, 118 di timur, 154 di barat dan 140 di kawasan tengah Singapura.

Keadaan berjerebu tersebut dijangka berterusan sepanjang penganjuran GP Singapura.

Sebelum ini, seorang jurucakap GP Singapura berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk menilai keadaan, sebelum membuat sebarang keputusan mengenai acara tersebut sekiranya jerebu menimbulkan masalah berkaitan jarak penglihatan, kesihatan awam atau isu operasi.

Satu pelan luar jangka, yang dirangka menerusi perbincangan bersama pihak berkepentingan dan agensi pemerintah, telah disediakan bagi menangani pelbagai senario termasuk jerebu, tambah jurucakap itu.

Ini termasuk memastikan pelitup N95 disediakan di lokasi acara sekiranya diperlukan.