Bekas tonggak pasukan bola sepak Singapura, Baihakki Khaizan, telah meletak jawatan daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), menandakan tamatnya penglibatan beliau dalam bidang pengurusan bola sepak.
Bekas Ketua Perancangan Pejabat Bahagian Teknikal FAS itu mengumumkan perkara tersebut di laman Facebook dan Instagramnya pada 16 September.
“Dengan penuh rendah diri dan rasa hormat, saya secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan saya daripada Persatuan Bola Sepak Singapura.
“Saya masih ingat detik-detik awal saya memulakan tugas, tertanya-tanya dari mana harus saya mula. Berbekalkan pengalaman saya di atas padang, saya memegang prinsip ‘bermain dengan mudah, tapi berkesan’.
“Daripada situ, lahirlah falsafah kerja yang saya pegang sepanjang tempoh ini, ‘idea kecil, tapi impak besar’,” kata beliau.
Baihakki turut merakamkan penghargaan kepada rakan sekerjanya atas “kepercayaan, persahabatan dan semangat berpasukan” yang diberikan sepanjang perkhidmatan beliau.
“Ini mungkin penutup satu bab, tetapi misi untuk terus berkhidmat demi bola sepak tidak akan pernah terhenti,” tambahnya.
Berita Harian (BH) telah menghubungi Baihakki untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Baihakki mempunyai kerjaya bola sepak yang luas bermain di kelab-kelab Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Selain Geylang United, LionsXII dan Tampines Rovers di Singapura, beliau antara lain pernah menyarung jersi Persija Jakarta dan Persib Bandung di Indonesia; Johor Darul Takzim di Malaysia; serta Muangthong United dan Prachuap FC di Thailand.
Beliau juga mempunyai 140 penampilan untuk negara dan telah memenangi tiga kejuaraan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean.
Baihakki menyertai FAS sebagai Peneraju Projek Khas dan juga Duta Pejabat Setiausaha Agung FAS selepas beliau bersara sebagai pemain bola sepak pada 2022.
Skop tugasnya termasuk menerajui projek untuk memartabatkan lagi bola sepak di Singapura melalui perkongsian dan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Pada 2023, beliau telah dilantik semula sebagai ketua perancangan di pejabat bahagian teknikal FAS, dan melancarkan FAS Players’ Concierge, yang bertujuan menangani keperluan kewangan, pendidikan dan pembangunan kerjaya serta kebimbangan pemain bola sepak profesional di Singapura.
Ini di samping mewujudkan Sistem Pentauliahan Akademi (AAS) FAS yang merangka struktur bagi pembangunan belia dalam bola sepak tempatan.
Beliau juga terlibat dalam inisiatif projek pembangunan bola sepak kebangsaan Unleash The Roar (UTR) yang dilancarkan pada 2024.
Pada Ogos, isteri Baihakki, selebriti dan usahawan setempat Norfasarie Mohamed Yahya, telah meluahkan kekecewaannya di media sosial apabila anak sulungnya, Mika Bazil Baihakki, 16 tahun, tidak disertakan dalam skuad kebangsaan bagi kejohanan Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (U-17) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dijadualkan pada November ini.
Mika tidak menyertai latihan pasukan di Bahrain kerana ingin memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi peperiksaan GCE peringkat ‘N’.
Mengulas mengenai kenyataan tersebut, FAS berkata pemain bola sepak serta keluarga mereka telah dimaklumkan beberapa bulan lebih awal tentang keperluan serta komitmen bagi kejohanan AFC U-17 tersebut.
Namun, difahamkan oleh The Straits Times bahawa insiden tersebut bukanlah punca utama pengunduran Baihakki yang berlaku ketika FAS sendiri sedang melalui perubahan dalam pentadbiran, termasuk pelantikan Badri Ghent menggantikan Chew Chun-Liang yang meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg