Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Respons FAS terhadap pos viral Norfasarie: Tiada pengecualian dibuat untuk mana-mana pemain

Aug 27, 2025 | 9:29 PM
FAS, Baihakki, Norfasarie, Mika Bazil Baihakki
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata pemain bola sepak serta keluarga mereka telah dimaklumkan berbulan-bulan lebih awal tentang keperluan serta komitmen bagi Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (U17) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dijadualkan pada November. - Foto fail

Pemain bola sepak serta keluarga mereka telah dimaklumkan “berbulan-bulan lebih awal” tentang keperluan serta komitmen bagi Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (U17) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dijadualkan pada November.

Bagi pemain yang kemudiannya berasa tidak mampu atau tidak mahu memberikan komitmen sepenuhnya, ia “telah dinyatakan dengan jelas” bahawa keputusan mereka akan dihormati tetapi mereka tidak akan dipertimbangkan untuk pemilihan bagi kelayakan Piala Asia U17.

Menjawab pertanyaan Berita Harian, seorang jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata pada 27 Ogos, walaupun ia sedar bahawa beberapa pemain akan menjalani peperiksaan, syarat-syarat itu tidak sepatutnya menjadi berita yang “mengejutkan bagi mereka”.

Ia juga menambah bahawa “tiada pengecualian akan dibuat untuk mana-mana pemain”.

“Telah dijelaskan kepada semua pemain bahawa persiapan untuk kejohanan itu akan menjadi sangat sengit dan tahap disiplin diri yang tinggi diperlukan untuk mencapai keseimbangan yang baik antara persediaan untuk kedua-dua kejohanan dan peperiksaan.

“Untuk tujuan ini, pemain diarah untuk berkomunikasi dengan ibu bapa mereka mengenai tahap komitmen yang diharapkan dan mengesahkan keupayaan mereka untuk hadir bagi setiap kem latihan dan/atau kejohanan,” kata jurucakap itu lagi.

Dalam catatan itu, Norfasarie mendakwa bahawa Mika tidak disertakan dalam pasukan kebangsaan hanya kerana dia ingin membuat persiapan untuk peperiksaan GCE peringkat ‘N’ yang bakal menjelang.

Jurucakap FAS berkata ia menghargai komitmen dan dedikasi pemain muda dan keluarga mereka, dan ia tidak akan teragak-agak untuk terus bertindak demi kepentingan bola sepak Singapura.

“Kami menghargai pengorbanan kedua-dua pemain dan keluarga mereka dalam mengejar kepentingan peribadi dan negara.

“Laluan ke sukan elit bukan untuk semua orang, tetapi untuk memastikan Singapura melancarkan kempen yang boleh dipercayai pada kelayakan Piala Asia U17, kami perlu mengutamakan keperluan kolektif pasukan dan bukannya individu,” kata jurucakap itu.

Memberikan perincian, jurucakap itu berkongsi bahawa taklimat telah diadakan di Stadium Jalan Besar pada Mei untuk semua pemain U17 dipilih yang berpangkalan di Singapura mengenai keperluan dan komitmen yang diperlukan untuk kelayakan Piala Asia AFC U17.

Dalam taklimat itu, pemain yang hadir dimaklumkan mengenai kem latihan dan kejohanan yang telah ditetapkan sebelum November, termasuk kem latihan yang dijadualkan dari 6 hingga 14 September yang bertepatan dengan cuti sekolah rasmi Kementerian Pendidikan (MOE).

Pemain juga diminta untuk memberi “komitmen penuh mereka berhubung dengan kem latihan dan kejohanan”.

Ini termasuk menghadiri kem latihan di Bangkok (21 hingga 29 Jun); Piala Lion City (8 hingga 13 Julai); kem latihan di luar negara (6 hingga 14 September dan 11 hingga 21 November); dan Kelayakan Piala Asia AFC U17 (22 hingga 30 Nov).

“Ini adalah di atas komitmen mingguan lima hari seminggu untuk latihan dan perlawanan,” tambah jurucakap itu.

Bagi pemain yang memilih untuk memberikan komitmen sepenuhnya kepada perjalanan itu, jurucakap itu berkata ia juga telah mengumumkan “dengan jelas” bahawa mereka akan perlu mengambil peperiksaan mereka “tanpa sebarang dispensasi khas”.

Tempoh pengajian akan dijadualkan ke dalam program latihan mereka untuk kem latihan, tetapi mereka juga dinasihatkan bahawa mereka perlu berdisiplin dan berkorban masa peribadi mereka untuk menyediakan pengajian mereka apabila mereka tidak menjalani latihan, tambahnya.

“Bola sepak adalah sukan berpasukan. Sebarang bentuk ketidakhadiran secara tidak sengaja akan menjejaskan keadaan latihan dan persekitaran, akhirnya membawa kepada persediaan yang tidak optimum untuk pertandingan peringkat elit rasmi di peringkat Asia.

“Untuk mengibarkan bendera Singapura pada peringkat yang besar, komitmen 100 pertaus diharapkan daripada para pemain,” kata jurucakap itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg