Bakal Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li, memberitahu The Straits Times (ST) pada 18 April bahawa beliau ingin mengembalikan kegemilangan bola sepak Singapura.
Dalam satu kenyataan media yang dikongsi dengan ST sejurus selepas FAS mengesahkan bahawa pasukan Li merupakan satu-satunya pasukan yang dicalonkan secara berkumpulan bagi penggal 2025-2029, jutawan teknologi dan pengerusi kelab Lion City Sailors itu berkata beliau “bersyukur atas peluang ini untuk memimpin FAS”.
Pengasas syarikat teknologi tempatan Sea Limited yang berusia 47 tahun itu menambah:
“Bola sepak bukan sekadar sukan. Ia kuasa yang kuat menyatukan dan membangkitkan semangat masyarakat.
“Kemenangan yang sukar diraih, jaringan yang luar biasa, ini semua kenangan bersama yang boleh dihargai oleh masyarakat, dibanggakan dan dibicarakan selama bertahun, malah berdekad lamanya.”
“Sebagai Presiden FAS, misi saya adalah untuk mengembalikan kegembiraan dan kebanggaan itu kepada bola sepak Singapura.”
Kumpulan sembilan orang dikenali sebagai Team One, yang diketuai Li, termasuk Desmond Ong sebagai Timbalan Presiden, serta empat calon Naib Presiden yang lain iaitu Bill Ng, Hariss Harun, Tan Li Yu dan Sean Bai.
Ong merupakan peguam dan pengerusi bagi kelab Tampines Rovers.
Ng pula pengasas firma ekuiti Financial Frontiers dan pengerusi Hougang United serta Tiong Bahru FC, Harris Harun ialah kapten pasukan negara, Tan merupakan pengurus umum Lion City Sailors dan Sean Bai pula ketua staf bersama pasukan England, Burnley.
Tiga ahli majlis lain ialah ketua projek strategik di Sea Group dan SeaMoney serta pengarah eksekutif di Lion City Sailors, Bruce Liang; ketua pengurus di Tasek Academy and Social Services, Arivan Shanmugaratnam; dan pengerusi St Joseph’s Institution (SJI) International, Roy Quek.
Mereka akan mengangkat sumpah pada 28 April di Raffles Town Club.
Awalnya, mantan Naib Pengerusi Balestier Khalsa, Darwin Jalil telah menyerahkan borang untuk bertanding dalam pemilihan FAS.
Namun pada 17 April, Darwin mengesahkan bahawa pasukannya telah dibatalkan kelayakan kerana salah seorang calon tidak layak bertanding.
Enam baki kerusi dalam Majlis FAS, yang akan dipilih secara individu pada 28 April, akan dipertandingkan oleh tujuh calon.
Calon-calon termasuk bekas penyerang kebangsaan, Aleksandar Duric; bekas kapten Lions, Aide Iskandar; Pengerusi Woodlands Rangers, James Lim; mantan ahli Majlis FAS dan Pengurusi Jawatankuasa Perubatan FAS, Dr Dinesh Nair; pengurus di bahagian Liga Bola Sepak Singapura Bahagian Satu Katong FC, Andy Tan; ketua kumpulan peminat Lions iaitu SingaBrigade, Syed Faris; dan ketua bola sepak wanita Sailors, Yeong Sheau Shyan.
Yeong akan secara automatik menjadi sebahagian daripada pasukan baru kerana Majlis FAS mesti terdiri sekurang-kurangnya seorang ahli wanita.
Li berkata beliau gembira kerana disertai dalam satu pasukan yang “padat pengalaman dalam arena bola sepak tempatan”.
Beliau menambah:
“Tumpuan kami adalah menyatukan semua pihak untuk memperbaiki ekosistem bola sepak dan memacu perubahan bermakna demi masa depan bola sepak Singapura.”
Li akan menggantikan Bernard Tan yang tidak bertanding semula, dan beliau serta pasukannya dijangka akan berkongsi pelan untuk memajukan bola sepak tempatan selepas kongres FAS.
Li, yang memiliki nilai bersih AS$8.6 bilion (S$11.28 bilion), kini antara tiga individu terkaya di Singapura.
Sebagai pengerusi Sailors, beliau telah membawa bola sepak tempatan ke peringkat antarabangsa dan mencapai kejayaan besar, termasuk menjadi pasukan Singapura pertama yang layak ke final Liga Juara-Juara Asia Dua pada 16 April.
Sailors akan berdepan Sharjah FC dari Amiriah Arab Bersatu dalam final pada 18 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg