Jutawan teknologi dan pengerusi kelab Lion City Sailors (LCS), Forrest Li, dijangka menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang baru, selepas bekas naib pengerusi Balestier Khalsa, Darwin Jalil, dan pasukannya hilang kelayakan untuk bertanding dalam pemilihan akan datang.
Dalam sepucuk surat daripada jawatankuasa rayuan pemilihan FAS yang dilihat The Straits Times (ST) pada 17 April, pasukan Darwin, yang digelar ‘Football First’ dan mempunyai sembilan nama bagi jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan tiga anggota majlis, hilang kelayakan disebabkan salah seorang calon tidak memenuhi kriteria kelayakan.
Difahamkan, dua daripada sembilan calon asal mereka gagal dalam semakan integriti, dan mereka diberikan tempoh sehingga 10 April untuk menyerahkan borang bagi calon pengganti, lapor ST.
Bagaimanapun, salah seorang calon pengganti mereka – Neo Gim Chye – kemudian ditolak oleh jawatankuasa pemilihan.
Satu rayuan telah dibuat, namun ia tidak berjaya. Mengikut peraturan, apabila seorang calon hilang kelayakan, ia bermakna seluruh pasukan yang dicalonkan tidak layak bertanding dalam pemilihan tersebut.
Difahamkan, Li dan pasukannya telah lulus semua semakan yang diperlukan.
Darwin mengesahkan bahawa pasukannya telah hilang kelayakan.
“Saya sangat kecewa dengan keputusan ini. Kami tampil untuk berkhidmat sebagai sukarelawan, dan kami berasa kami mempunyai set kemahiran yang pelbagai untuk memajukan sukan ini.
“Sungguh mengecewakan apabila para pengundi tidak diberi peluang mengundi, namun saya memberikan sokongan terbaik kepada Forrest.
“Ini adalah masa menggembirakan untuk bola sepak Singapura, tanpa mengira siapa yang menang, kerana sukan bola sepak Singapura dijangka akan terus mencatat kemajuan,” katanya.
Darwin turut memaklumkan bahawa Neo, yang merupakan presiden Persatuan Alumni Institut Pendidikan Teknikal (ITE), telah dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden, namun dianggap tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Menurut perlembagaan FAS, semua calon bagi jawatan timbalan presiden mesti telah memainkan peranan aktif, sama ada dalam bola sepak persatuan, atau sebagai pegawai dalam Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), konfederasi, persatuan, atau peranan aktif dalam pengurusan sukan secara umum, atau sukan tertentu, selama dua daripada lima tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg