Topik diikuti
Pergi ke BHkuBaleba pindah ke Man U dari Brighton dengan nilai £70j
Kehadiran bakal perkuat midfield pasukan dengan ‘The Red Devils’ persiap hadapi musim yang sibuk termasuk beraksi dalam Liga Juara-Juara
MANCHESTER: Manchester United telah menandatangani pemain tengah Cameroon, Carlos Baleba, dari kelab Brighton dalam satu perjanjian bernilai £70 juta ($121 juta).
Kelab Old Trafford itu membuat pembayaran sebanyak £65 juta, dengan kemungkinan tambahan £5 juta, bagi pemain muda berbakat berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, Brighton turut merundingkan klausa jualan semula (sell-on clause).
United menyasarkan untuk menandatangani Baleba selepas membuat keputusan untuk memperkukuh bahagian tengah mereka.
Pemindahan Baleba ini dimuktamadkan menyusuli ketibaan Andrey Santos dari Chelsea dan Youri Tielemans dari Aston Villa pada Julai lalu.
Baleba telah menandatangani kontrak selama lima tahun di Old Trafford sehingga Jun 2031, dengan pilihan untuk melanjutkan selama setahun lagi.
“Perasaan dapat menyertai kelab impian saya sangat menakjubkan,” kata Baleba.
“Bermain di stadium Old Trafford sentiasa istimewa (buat saya), tetapi peluang untuk berbuat demikian sebagai pemain Manchester United adalah satu penghormatan sebenar.
“Saya tidak sabar untuk bekerja (di bawah bimbingan pengurus) Michael Carrick. Pengalaman dan pengetahuan beliau mengenai permainan ini menjadikannya jurulatih yang terbaik untuk membantu saya mencapai tahap lebih tinggi.
“Impian semua pihak di kelab ini sangat jelas, masa depan mereka amat mengujakan, dan saya bertekad untuk memainkan peranan saya dalam meraih kejayaan yang kami mampu capai bersama.”
Pemindahan Baleba menyusuli kekalahan mengejut 0-2 United kepada Hull City dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana England (EPL) pada 22 Ogos, yang menyaksikan Santos dan Tielemans membuat penampilan sulung mereka di bahagian tengah.
United pernah cuba melamar Baleba pada akhir tempoh pemindahan pemain tahun lalu (2025), namun ia tidak diteruskan kerana nilai yang diletakkan Brighton ketika itu melebihi £100 juta.
Baleba, yang menyertai Brighton dari kelab Perancis, Lille, pada 2023, kini sedang berehat akibat kecederaan buku lali yang dialaminya semasa kem latihan pramusim skuad Seagulls di Austria.
Beliau telah membuat 112 penampilan buat Brighton dengan menjaringkan empat gol, serta beraksi dalam 31 perlawanan EPL musim lalu untuk membantu kelab itu menduduki tangga kelapan, sekali gus melayakkan diri ke Liga Persidangan (Eropah) musim ini.
“Musim lalu sangat sukar,” kata Baleba dalam satu video perpisahan.
“Terdapat satu perlawanan malam menentang Aston Villa apabila saya dikeluarkan seawal minit ke-22. Saya duduk di bangku simpanan dan tidak mampu mengangkat muka. Namun, anda (penyokong) tidak mencemuh saya.
“Saya selalu mengingati perkara itu lebih daripada apa yang anda bayangkan. Anda berhak untuk berbuat demikian tetapi memilih untuk tidak melakukannya.
“Saya akan sentiasa mengikuti keputusan perlawanan anda setiap minggu sepanjang hayat saya. Terima kasih, penyokong Brighton.”
Pemindahan ini membawa perbelanjaan musim panas United kepada £153 juta, ketika kelab bergelar The Red Devils itu membuat persediaan untuk kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama sejak musim 2023-24.
“(Baleba merupakan) bakat besar yang sudah lama dipantau oleh kelab ini,” kata kapten United, Bruno Fernandes.
“Beliau seorang pemain yang mampu mempertingkat keupayaan pasukan kami dan mempunyai kualiti berbeza berbanding apa yang sudah kami miliki dalam kelab.
“Harapan kami terhadapnya sangat tinggi, tetapi kami juga tahu beliau seorang pemain yang perlu diberi masa untuk mencapai versi terbaik dirinya.
“Kami ada di sini untuk membantunya menyesuaikan diri secepat mungkin dan membantu kami memenangi perlawanan,” tambah Fernandes. – Agensi berita.
