Kelab bola sepak Balestier Khalsa FC menduduki tempat keempat pada musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 yang lalu. Kelab yang mendapat julukan, The Tigers, memperoleh pencapaian itu meskipun dibelenggu beberapa cabaran. Menjelang musim SPL 2026/27, Berita Harian (BH) menemui ketua jurulatih yang akan memimpin kelab itu bagi musim kedua, serta kapten baharu skuad itu.

Kempen Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 ternyata amat mencabar buat Balestier Khalsa.

Kelab dengan nama julukan, The Tigers, itu terpaksa berkelana dan berlatih di pelbagai padang di seluruh negara – termasuk di Bishan, Bukit Gombak, Woodlands, Yio Chu Kang serta padang Our Tampines Hub (OTH) – kadangkala tanpa kemudahan bilik persalinan tersendiri.

Meskipun dibelenggu keadaan sukar, Balestier tetap menunjukkan taring dalam saingan SPL dan Piala Singapura.

Mereka mengakhiri saingan SPL di tangga keempat setelah mengutip 35 mata daripada 21 perlawanan.

Mereka turut melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Singapura sebelum disekat oleh Lion City Sailors (LCS).

Keadaan telah bertambah baik dan Balestier kini berlatih di Stadium Serangoon sejak 13 Julai.

Namun, mereka masih belum lagi diberikan tempat latihan yang tetap.

Ketua jurulatih, Marko Kraljevic, memuji kegigihan dan disiplin tinggi yang dipamerkan anak didiknya sepanjang musim lalu itu.

“Tempoh itu amat mencabar, namun kami tiada pilihan lain melainkan untuk terus berlatih dan berusaha, walaupun kemudahan tidak selalu sedia ada untuk kami.

“Saya bangga dengan semangat kental yang dipamerkan oleh pasukan kami, ia luar biasa bagi saya,” kongsi Kraljevic, 61 tahun.

Balestier Khalsa mengadakan sesi latihan Balestier Khalsa di Stadium Serangoon pada 14 Ogos.
Balestier Khalsa mengadakan sesi latihan Balestier Khalsa di Stadium Serangoon pada 14 Ogos. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL
Marko Kraljevic (tengah) memberi arahan kepada pemain Balestier Khalsa semasa sesi latihan di Serangoon Stadium pada 14 Ogos.
Marko Kraljevic (tengah) memberi arahan kepada pemain Balestier Khalsa semasa sesi latihan di Serangoon Stadium pada 14 Ogos. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Jurulatih dari Croatia itu tersenyum manis apabila mengimbau kembali detik Balestier menewaskan Geylang International FC 4-3 dalam saingan SPL, meskipun ketinggalan 1-2 sebelum memasuki separuh masa kedua.

“Mereka kekal tenang dalam situasi itu dan percaya pada keupayaan mereka sendiri. Saya rasa mereka sering menunjukkan semangat itu dengan jelas pada musim lalu,” tambahnya.

Namun, Kraljevic berasa skuad itu berada di landasan baik untuk terus mempertingkatkan prestasi mereka.

Beliau berpuas hati dengan jentera serangan mereka yang semakin berkesan berbanding musim 2024/25.

Beliau turut menampilkan benteng mereka yang semakin kukuh.

Menurut laman web perangkaan sukan antarabangsa, Sofascore, Balestier berjaya mengurangkan kadar gawang mereka dibolosi setiap perlawanan daripada 2.5 (Musim 2024/25) kepada 2.2 (Musim 2025/26).

Namun, Kraljevic yakin skuad itu mampu memperketatkan pertahanan mereka lagi.

Ini penting jika mereka ingin mencapai kedudukan lebih tinggi bagi musim 2026/27, sekali gus mengesahkan tiket untuk bersaing di ACL2 di mana tahap persaingan lebih sengit, tambahnya.

“Kami ingin bertindak dengan lebih laju, mengawal serangan balas dan hantaran lintang oleh lawan dengan lebih berkesan.

“Setiap pemain perlu menyumbang kepada benteng pertahanan kami,” jelas Kraljevic.

Meskipun beberapa pemain tonggak telah meninggalkan Balestier, Kraljevic menegaskan bahawa pembangunan dan rentak permainan skuad tidak terjejas.

Barisan pemain yang meninggalkan kelab itu termasuk Madhu Mohana, Masahiro Sugita, Mario Subaric, Lazar Vujanic, Ignatius Ang dan Darren Teh.

Kraljevic menegaskan bahawa pemain baharu bakal melengkapi usaha kelab untuk memperkukuh keupayaan skuad yang telah dibina sejak musim lalu.

Beliau turut menambah bahawa kelab itu telah membawa masuk lebih ramai bakat muda yang menunjukkan potensi baik bagi musim 2026/27.

Antaranya ialah bekas bek tengah dari Nakhonratchasima Mazda FC, Bill Mamadou; pemain tengah dari Albirex Niigata, Yushin Otake; serta bekas penyerang HNK Cibalia Vinkovci, Marin Kuzminksi.

Balestier bakal mengumumkan beberapa pemain baharu.

Sementara itu, Balestier boleh terus bersandar kepada beberapa pemain yang kekal demi mencapai kedudukan yang lebih baik.

Antaranya ialah penyerang dari Croatia, Jakov Katusa. Beliau membuktikan dirinya sebagai tonggak skuad itu.

Selain menyumbang enam gol, beliau menghasilkan 10 bantuan dalam SPL, iaitu rekod ketiga tertinggi dalam musim SPL yang lalu.

Kraljevic turut memuji penjaga gawang, Mario Mustapic.

Mereka berdua menyertai kelab itu pada musim lalu dan berada di landasan baik untuk menghasilkan musim kedua yang lebih baik, kata Kraljevic.

“Walaupun kami membawa masuk pemain baru dan membuat sedikit perubahan, ia tetap penting untuk kami kekalkan rangka kejayaan kami,” tambah Kraljevic.

Penjaga gawang utama Balestier Khalsa FC, Mario Mustapic, semasa sesi latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos.
Penjaga gawang utama Balestier Khalsa FC, Mario Mustapic, semasa sesi latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Kraljevic juga memberi kepercayaan kepada Tajeli Salamat, 32 tahun, untuk memimpin skuad itu sebagai kapten selepas Madhu Mohana menyertai Tanjong Pagar United.

Tajeli, yang kembali menyertai kelab itu pada November 2025, mempunyai ikatan yang cukup kuat dengan Balestier selepas memulakan kerjaya profesional di sana pada 2014 di bawah bimbingan Kraljevic.

Tajeli Salamat, 32 tahun, diberikan amanah menjadi kapten bagi musim SPL 2026/27.
Tajeli Salamat, 32 tahun, diberikan amanah menjadi kapten bagi musim SPL 2026/27. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Berbekalkan pengalaman luasnya dalam saingan SPL, Kraljevic yakin pemain pertahanan itu mampu memimpin skuad Tigers dengan baik.

Balestier akan membuka tirai SPL 2026/27 dengan menentang Tampines Rovers pada 11 September.

Kraljevic (kiri) memberi arahan kepada pemain Balestier Khalsa FC semasa latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos.
Kraljevic (kiri) memberi arahan kepada pemain Balestier Khalsa FC semasa latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Sekilas jadual perlawanan Balestier Khalsa:

September 2026

  1. 11 Sep lwn Tampines Rovers FC di Our Tampines Hub
  2. 19 Sep lwn Tanjong Pagar United FC di Stadium Bishan

Oktober 2026

  1. 12 Okt lwn Hougang United di Stadium Bishan 
  2. 17 Okt lwn Geylang International FC di Stadium Bishan 
  3. 24 Okt lwn Young Lions di Stadium Jalan Besar

November 2026

  1. 1 Nov lwn Lion City Sailors di Stadium Bishan 
  2. 20 Nov lwn FC Jurong di Stadium Jurong East
  3. 28 Nov lwn Hougang United FC di Stadium Bishan 

Februari 2027

  1. 12 Feb lwn lwn Tanjong Pagar United FC di Stadium Jurong East
  2. 21 Feb lwn Lion City Sailors di Stadium Bishan 
  3. 27 Feb lwn Young Lions di Stadium Jalan Besar

Mac 2027

  1. 5 Mac lwn Geylang International FC di Stadium Bishan
  2. 14 Mac lwn Tampines Rovers FC di Stadium Bishan 
  3. 19 Mac lwn FC Jurong di Stadium Jurong East

April 2027

  1. 3 Apr lwn Young Lions di Stadium Bishan
  2. 10 Apr lwn Geylang International FC di Our Tampines Hub
  3. 16 Apr lwn Tanjong Pagar United FC di Stadium Bishan
  4. 25 Apr lwn Hougang United FC di Stadium Bishan

Mei 2027

  1. 2 Mei lwn FC Jurong di Stadium Bishan
  2. 9 Mei lwn Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar 
  3. 15 Mei lwn Tampines Rovers FC di Our Tampines Hub