Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wajah dikenali di Balestier Khalsa FC kembali sebagai ketua jurulatih

Matlamat musim baru Kraljevic: Harimau akan menyerang pantas dan perkukuh benteng pertahanan
Aug 17, 2025 | 5:30 AM
Marko Kraljevic
Marko Kraljevic kembali ke kelab Balestier Khalsa sebagai ketua jurulatih. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Kelab bola sepak Balestier Khalsa FC menduduki tempat keempat pada musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2024/25 lalu, dengan mencatatkan sebanyak 84 gol, sambil dibolosi sebanyak 80 kali. Kelab yang mendapat julukan Harimau itu teguh menyahut cabaran mengukuhkan barisan pertahanan sambil memastikan serangan mereka tetap berbahaya. Bagi musim SPL 2025/26, Berita Minggu (BM) menemui ketua jurulatih yang baru dilantik serta pemain baru, yang kededuanya berakar umbi dalam Balestier Khalsa FC.

Marko Kraljevic, yang baru tiba dari liga bola sepak Hong Kong, menceburi bola sepak Singapura buat pertama kali dengan menyarung jersi merah nombor 8 untuk Balestier Khalsa FC, atau Balestier Central pada 1996.

Beliau, yang berasal dari Croatia, turut mulakan kerjaya sebagai jurulatih untuk pasukan Balestier Khalsa FC di bawah umur 16 pada 2006.

Kraljevic memainkan peranan sebagai ketua jurulatih Balestier Khalsa FC pada 2014 dan telah menghabiskan masa yang lama di kelab Harimau itu, walaupun pernah menimba pengalaman di kelab lain.

“Kelab Balestier Khalsa FC terbenam dalam ‘DNA’ saya... saya tidak perlu berunding keputusan saya untuk kembali,” ujar Kraljevic dalam sesi temu ramah pada 7 Ogos.

Marko Kraljevic pernah menyarung jersei nombor 8 untuk Balestier Central dalam  ‘S-League’ - liga bola sepak Singapura - pada 1996.
Marko Kraljevic pernah menyarung jersei nombor 8 untuk Balestier Central dalam ‘S-League’ - liga bola sepak Singapura - pada 1996. - Foto fail

Dengan sejarahnya di kelab Harimau itu, Kraljevic dengan segera menerima tawaran untuk kembali sebagai ketua jurulatih Balestier Khalsa FC untuk Musim SPL 2025/2026, yang akan membuka tirai pada 16 Ogos.

“Saya masih bertenaga dan teguh menghadapi cabaran dalam musim SPL akan datang,” kongsi Kraljevic

Menjelang permulaan Musim SPL 2025/2026, Kraljevic dan kelabnya telah bertungkus-lumus membuat persiapan untuk perlawanan pertama menentang Albirex Niigata pada 23 Ogos di Stadium Jurong East.

Sejak mengambil alih pada 30 Jun, Kraljevic sudahpun mencipta matlamat baru untuk kelabnya berdasarkan prestasi musim yang lalu.

Balestier Khalsa FC mengutip 48 mata daripada 32 perlawanan untuk mencapai tangga keempat daripada sembilan pasukan pada Musim SPL 2024/25.

Kehebatan serangan Balestier Khalsa terbukti dengan jaringan 84 gol pada Musim SPL 2024/25.

Namun, Kraljevic mengakui kebocoran dalam pertahanan perlu diperbaiki untuk mencapai kedudukan yang lebih baik untuk musim SPL 2025/26 yang menjelma.

“Musim lalu, kami cemerlang menjaringkan sekitar tiga gol setiap perlawanan... tetapi kami juga dibolosi sebanyak 80 kali di gol sendiri.

“Ternyata, kami perlu memperkukuhkan pertahanan kami... semua pemain termasuk penyerang perlu berusaha untuk mempertahankan gol kami,” ujar Kraljevic.

Justeru, Kraljevic nyatakan rentak serangan yang pantas dan pertahanan yang agresif akan menjadi pendekatan utama kelab Harimau.

“Jikalau kehilangan penguasaan bola, kami bersedia menekan pihak lawan untuk memulih penguasaan bola dengan lebih segera,” tambahnya.

Setakat ini, Balestier Khalsa FC telah membawa masuk 10 pemain baru dari SPL dan dari liga Croatia, Greece, Slovenia dan Romania.

Mereka dipilih daripada senarai sekitar 30 pemain lain.

Ini termasuk empat pemain pertahanan seperti Syafi Nur Hilman, Mario Subaric, Levi Farris Alfa, Syabil Hisham dan penjaga gol Mario Mustapic.

Kraljevic berkongsi: “Pada mulanya, kami memberi tumpuan kepada bakat tempatan yang sudah hadir sebelum memandang kepada pemain asing untuk memacu tahap kami.”

Dengan peraturan baru yang membolehkan kelab SPL menurunkan seramai tujuh pemain asing dalam setiap perlawanan, Kraljevic menjangka pertandingan SPL akan bertambah sengit.

“Kami akan merancangkan beberapa perlawanan persahabatan, mungkin di Malaysia, untuk mengekalkan intensiti tinggi untuk latihan dan persiapan kami,” tambah Kraljevic.

Dengan pengukuhan itu, Kraljevic yakin Balestier Khalsa FC mampu mencapai kedudukan dua teratas atau menjadi juara Piala Singapura, supaya berpeluang mengekalkan tempat dalam pertandingan bola sepak serantau, Liga Juara-Juara Bola Sepak Kelab Asia (ACL).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg