Pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Balestier Khalsa, telah menjalani latihan tanpa padang tetap sejak 1 Oktober apabila padang St Wilfred berhampiran Whampoa ditutup.
Mereka telah berlatih di sana sejak 2023 kerana Stadium Toa Payoh, yang menjadi pangkalan latihan mereka, ditutup pada tahun yang sama untuk memberi ruang kepada Pembangunan Bersepadu Toa Payoh (TPID).
Namun, apabila St Wilfred ditutup pada 1 Oktober lalu, Balestier terpaksa berpindah dari satu padang ke padang lain untuk berlatih.
Malah, menurut kapten pasukan itu, Madhu Mohana, terdapat tempat latihan yang tidak mempunyai kemudahan asas.
Antaranya, tiada bilik persalinan untuk menyimpan peralatan dan keperluan pemain, serta pasukan itu perlu berkongsi tandas awam dengan pengguna yang lain.
Menerusi satu hantaran di Instagram pada 5 Oktober, Madhu berkata:
“Kami tiada tempat latihan yang tetap. Kami berkongsi tandas awam dan tiada bilik persalinan untuk dijadikan ‘rumah’. Ada hari kami berlatih pada 2.30 petang, hari lain pada 8 malam. Masa latihan tidak konsisten.
“Jika saya tidak bersuara, tiada siapa yang akan (bersuara). Harap perkara ini dapat mendedahkan apa yang sedang berlaku di sebuah kelab bola sepak profesional.”
Madhu, yang mempunyai 33 penampilan bersama Singa, menjelaskan bahawa mereka tidak meminta banyak, “hanya satu ruang khas untuk berlatih dan kemudahan asas untuk membantu kami berkembang sebagai satu pasukan”, serta menggesa perubahan dilaksanakan sekarang.
“Jika perubahan itulah yang selalu kita dengar, sudah tiba masanya untuk melihatnya direalisasikan,” kata beliau.
Madhu enggan mengulas lanjut apabila dihubungi oleh Berita Harian (BH), manakala pihak kelab juga enggan memberikan sebarang komen.
Memberikan respons terhadap perkara tersebut, jurucakap badan pentadbir sukan setempat, Sport Singapore (SportSG), berkata mereka, Balestier, dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah bekerjasama untuk mencari padang latihan alternatif bagi kelab itu menyusuli penutupan Pusat Sukan St Wilfred pada 1 Oktober.
Balestier ditawarkan tiga stadium untuk latihan mereka iaitu Stadium Serangoon, Bishan, dan Yio Chu Kang.
Berbanding stadium Yio Chu Kang yang tidak mempunyai bilik persalinan, dua lagi stadium itu memiliki kemudahan tersebut.
“Balestier Khalsa FC (BKFC) telah ditawarkan tiga stadium – Stadium Serangoon, Stadium Bishan, dan Stadium Yio Chu Kang – dengan slot masa yang ditetapkan untuk menampung pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) dan SPL2 mereka, serta skuad Liga Pusat Kecemerlangan (COE).
“BKFC juga dinasihati bahawa bilik persalinan khas hanya tersedia di Stadium Serangoon dan Bishan,” kata jurucakap itu.
Ia menambah, SportSG dan FAS kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan BKFC bagi menyokong mereka dalam mengatur latihan yang memenuhi keperluan mereka, serta memastikan semua kelab SPL mempunyai sumber yang diperlukan untuk beroperasi dengan berkesan.
The Tigers merupakan pasukan bola sepak profesional yang beraksi di SPL 2025/26, dan menduduki tangga kelima, dengan empat mata selepas tiga perlawanan musim ini.
Pada awal musim ini, Balestier telah berlatih di St Wilfred – yang terletak di Whampoa – sebelum kemudahan sukan itu juga ditutup dek tamatnya tempoh pajakan mereka.
St Wilfred yang ditubuhkan pada 1980 juga menawarkan kemudahan asas yang dikongsi dengan orang awam seperti tandas dan bilik persalinan.
Selepas penutupan tersebut, tinjauan BH mendapati Balestier akan menjalani latihan di beberapa lokasi dalam seminggu termasuk Stadium Yio Chu Kang, Serangoon, Jurong East, dan padang Dempsey.
Difahamkan, latihan akan bermula pada waktu yang berbeza setiap hari, antara 2.30 petang dengan 7.45 malam.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Balestier Khalsa, Marko Kraljevic, mengakui terdapat cabaran tertentu dalam mendapatkan tempat latihan tetap, tetapi menegaskan bahawa kelab itu dan anak didiknya tetap menanganinya secara profesional.
“Saya seorang jurulatih, saya ingin mempunyai padang latihan yang sesuai, saya juga ingin mempunyai bilik persalinan, tetapi ia tidak mungkin (berlaku) pada masa ini.
“Kelab sedang berusaha sedaya upaya. Mereka mahu pasukan berlatih di tempat yang sama dan menguruskan segala-galanya, tetapi ia tidak mungkin dilakukan pada masa ini,” ujarnya kepada BH.
Kraljevic turut memuji sikap para pemain yang menunjukkan tahap profesional yang tinggi untuk tetap berlatih walau menghadapi masalah sedemikian.
“Sejujurnya, anak didik saya profesional. Mereka datang dan melaksanakan latihan.
“Latihan tidak pernah terjejas, setiap orang cuba melakukan yang terbaik,” tambahnya.
Sejak Stadium Toa Payoh ditutup, Balestier berkongsi ‘kubu’ dengan Lion City Sailors di Stadium Bishan untuk perlawanan mereka, namun juara bertahan itu mempunyai pusat latihan tersendiri di Mattar Road.
Balestier akan berdepan BG Tampines Rovers pada 19 Oktober di Our Tampines Hub untuk perlawanan SPL seterusnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg