QATAR: Arsene Wenger mendakwa negara-negara yang fokus kepada 'bantahan politik' sebelum perlawanan pertama Piala Dunia mereka terus mengalami nasib kurang memuaskan dari segi persembahan di padang.
Para pemain Jerman menutup mulut mereka sebagai bantahan sebelum perlawanan pembukaan mereka menentang Jepun selepas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengancam kenakan sekatan terhadap para pemain yang memakai lilitan lengan (arm band) antidiskriminasi, OneLove.
"Pasukan-pasukan itu (yang bermain baik) lebih bersedia dari segi mental.
"Mereka beri tumpuan kepada pertandingan dan bukan pada bantahan politik," kata Wenger.
Para pemain Australia telah menyiarkan video bantahan menjelang kejohanan itu dan kalah perlawanan pertama mereka semasa menentang Perancis.
Bekas pengurus Arsenal itu yang juga ketua pembangunan bola sepak sejagat, telah bercakap di satu taklimat media baru-baru ini.
Persekutuan bola sepak Jerman yang paling lantang dalam menyuarakan agar lilitan lengan OneLove itu dipakai para pemain membuatkan pasukan Jerman sendiri, Denmark, Belgium, Belanda, Wales, England dan Switzerland akhirnya membatalkan rancangan memakainya.
Bantahan telah berlangsung terhadap hak kemanusiaan Qatar serta layanan mereka kepada pekerja pendatang selain undang-undang ketat Qatar yang anti-LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).
England yang berjaya layak ke peringkat suku akhir dengan dua kemenangan dan satu seri, masih lagi melutut sebelum setiap permainan, meneruskan trend mereka sebagai lambang antiperkauman sebelum setiap perlawanan sejak kematian George Floyd pada 2020.
Nasib tidak menyebelahi pemenang Piala Dunia empat kali, Jerman, yang terkeluar di peringkat kumpulan bagi kali kedua berturut-turut dalam Piala Dunia.
Denmark yang menduduki tempat tercorot Kumpulan D, dilarang Fifa daripada memakai kit latihan dengan slogan yang menyokong hak kemanusiaan.
Menteri sukan Britain, Encik Stuart Andrew, telah memakai lilitan lengan OneLove semasa perlawanan England menentang Wales.
Ini selepas ketua Piala Dunia di Qatar Encik Hassan Al-Thawadi, berkata lilitan lengan itu membawa mesej yang memecahbelahkan.
Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak, Encik Mark Bullingham, berkata Fifa telah bertegas akan menyekat para pemain daripada memakai lilitan lengan OneLove semasa perlawanan mereka. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg